'Langkah Rawang' Hanya Khabar Angin - Saifuddin

Diterbitkan: Sabtu, 24 Oktober 2015 12:00 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Saifuddin Abdullah menafikan cakap-cakap mengenai 'Langkah Rawang' dan menyifatkan khabar angin seperti itu adalah perkara normal dalam politik.

"Ini hanya khabar angin. Mengapa orang sebarkannya? Saya tidak tahu. Mungkin bagi sesetengah pihak ia adalah perkara baik untuk digosipkan.

"Tapi hakikatnya khabar angin bukan sesuatu luar biasa dalam politik," kata bekas Ahli Parlimen Temerloh itu ketika dihubungi pada Sabtu.

Khabar angin mula tersebar kononnya kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Saifuddin.

Rancangannya ialah jika bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu menang, beliau akan menggantikan kedudukan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor.

Ditanya sama ada beliau berminat untuk menjadi pemimpin negeri, bekas timbalan menteri itu turut menolak idea tersebut.

"Saya tidak bercita-cita tinggi. Selain itu saya juga adalah dari Pahang," kata Saifuddin yang menyertai PKR pada 15 Oktober lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan