Kualiti Udara Di Pelabuhan Klang Paling Teruk

Diterbitkan: Sabtu, 24 Oktober 2015 11:56 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelabuhan Klang merupakan antara 22 kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 9 malam Sabtu, menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kualiti udara di Pelabuhan Klang merekod bacaan IPU tertinggi iaitu 147 diikuti Banting (136), Pasir Gudang (135) dan Putrajaya dan Shah Alam (131).

Selain itu, antara kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Bandaraya Melaka (130), Kuala Selangor (128), Bukit Rambai dan Port Dickson merekodkan bacaan 126 dan Larkin Lama 122.

Sementara itu, 28 kawasan telah merekodkan bacaan IPU sederhana. 

Hanya dua kawasan direkodkan sebagai kawasan sihat iaitu Limbang di Sarawak dengan bacaan 35 diikuti Wilayah Persekutuan Labuan dengan 43.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan