Malaysia Duduki Ranking Keempat Dalam Indeks Internet Mampu Milik - Salleh

Diterbitkan: Jumaat, 23 Oktober 2015 7:06 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mampu menempatkan diri dalam kedudukan tangga keempat dalam Indeks Internet Mampu Milik 2015, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Dalam kiriman terbaru dalam blognya pada Khamis, Salleh berkata kedudukan itu telah meletakkan Malaysia di hadapan negara-negara seperti Thailand (kedudukan ke-13), Vietnam (22), China (23), Pakistan (25), Indonesia (27), Filipina (29) dan India di tangga ke-30.

Malaysia hanya ketinggalan di belakang Costa Rica, Colombia dan Turki dalam kategori bahagian negara-negara memuncul dan membangun dalam indeks tersebut.

Salleh juga berkata Malaysia menduduki ranking kelima dalam kategori indeks kecil infrastruktur komunikasi di belakang Colombia, Peru, Brazil dan Turki.

Indeks tersebut adalah satu kajian mendalam yang dikeluarkan oleh badan antarabangsa, 'Alliance for Affordable Internet (A4AI)' dengan tujuan memahami usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan akses internet yang lebih berpatutan, mudah dan sejagat.

Menurut laman rasmi A4AI, indeks berkenaan meliputi 51 buah negara memuncul dan membangun dan terdapat 30 syor dasar terperinci bagi pemegang kepentingan termasuk kerajaan dan pemain sektor perniagaan untuk meningkatkan kedudukan ranking di bawah indeks tersebut.

Sementara itu, Salleh berkata Malaysia diiktiraf sebagai peneraju global dalam penggunaan pemesejan segera (IM) di mana 77 peratus rakyat Malaysia menggunakannya setiap hari diikuti rapat Singapura (76 peratus) dan Thailand  dengan 74 peratus.

Dalam blognya, Salleh memetik Frost  and  Sullivan Asia-Pacific (Apac), ketua industri bagi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Naveen Mishra sebagai berkata Malaysia menerajui dunia dalam pengunaan IM kerana penembusan telefon pintar telah berkembang dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Pada 2014, penembusan telefon pintar telah mencecah 51.6 peratus daripada 38 peratus pada 2013. Lebih 21 juta penduduk menggunakan telefon pintar dan persaingan kuat dalam pasaran telah menjadikan internet mampu milik di sediakan.

"Rakyat Malaysia agak celik teknologi dan masyarakat pelbagai peringkat umur mampu menguasai aplikasi IM dengan cepat," Naveen dipetik sebagai berkata. - BERNAMA


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan