Peruntukan RM930 Juta Perkasa Belia, Komuniti Dan NGO - PM

Diterbitkan: Jumaat, 23 Oktober 2015 6:35 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ke arah agenda memperkasa belia, komuniti dan NGO, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM930 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan dengan menggariskan tujuh inisiatif.

Inisiatif itu melibatkan latihan teknikal dan vokasional di Institut Kemahiran Belia Negara dan Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara dengan peruntukan RM280 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata fokus juga diberikan bagi penambahbaikan Program Latihan Khidmat Negara dengan peruntukan RM360 juta untuk 20,000 pelatih yang melibatkan kurikulum baharu seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kemahiran teknikal.

"Sebanyak RM160 juta disediakan untuk pelbagai NGO bagi melaksanakan program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan, kebajikan masyarakat, kesihatan dan keselamatan," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini yang bertajuk 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat'.

Selain itu, RM50 juta diberikan sebagai inisitiaf untuk belia meningkatkan pembangunan dalam ekonomi dan keusahawanan.

Bagi mempersiapkan atlet negara menghadapi cabaran Sukan SEA ke-29 dan sukan Para Asean ke-9 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur, sebanyak RM145 juta disediakan selain RM75 juta diperuntukkan bagi melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Podium Sukan Elit.

"Ia juga melibatkan pembinaan dua buah Kompleks di Bagan Datoh dan Kuantan dengan peruntukan sebanyak RM22 juta," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: belia , Institut Kemahiran Belia Negara , NGO

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan