Dakwaan Demam Kepialu Berpunca Daripada Kilang Ais Haram Tidak Benar

Diterbitkan: Jumaat, 23 Oktober 2015 9:46 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan bahawa penyakit demam kepialu berpunca daripada kiub ais yang dihasilkan kilang yang beroperasi secara haram.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian itu sentiasa menjalankan pemantauan ke atas kilang ais termasuk menjalankan pensampelan bagi tujuan analisis.

"Terdapat dua kilang ais berlesen dengan Kementerian Kesihatan yang membekalkan ais ke premis makanan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Sehingga kini, tiada sampel ais yang dikesan mengandungi bakteria patogenik," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Noor Hisham menegaskan bahawa semua kilang air perlu dilesenkan oleh Kementerian Kesihatan di bawah Peraturan 394A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

"Sekiranya pemilik kilang ais beroperasi tanpa lesen sah, mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk melaporkan mana-mana kilang pengeluar ais yang disyaki beroperasi tanpa lesen kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri yang terdekat atau melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq.

Sementara itu, beliau berkata, status terkini kes demam kepialu di Kuala Lumpur setakat ini merekodkan pertambahan sebanyak empat kes, menjadikan jumlah keseluruhan dari Januari sehingga Oktober ialah 38 kes.

Beliau berkata hanya tujuh pesakit masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan kesemua kes berada dalam keadaan stabil dan tiada kematian dilaporkan.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini telah mempertingkatkan operasi pencegahan dan kawalan di ibu negara.

"Semenjak peningkatan kes dilaporkan pada Ogos 2015, sebanyak 160 premis makanan telah diperiksa dan 10 premis ditutup kerana didapati tidak bersih.

"Sebanyak 10 notis kompaun di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada tuan punya premis makanan. Seramai 837 pengendali makanan telah diperiksa dan diambil sampel klinikal dan sedang menunggu keputusan ujian makmal," katanya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas operasi itu, Pengarah Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya Datuk Dr Narimah Nor Yahaya berkata pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap semua pengusaha premis makanan bagi memastikan penyakit bawaan itu dapat disekat sebelum merebak.

"Premis yang diarah tutup itu terdiri daripada restoran dan gerai makanan... kami juga akan melakukan operasi ini di premis makanan setiap hari bagi memastikan setiap premis dalam keadaan bersih serta terhindar daripada sebarang penyakit bawaan," katanya.

Operasi dua jam di premis makanan masakan ala kampung di Kampung Baru, di sini hari ini dijalankan oleh 36 pegawai penguatkuasa daripada JKWPKL.

"Pemilik premis ini gagal mengekalkan kebersihan, jadi kami arahkan agar ia ditutup selama 14 hari bermula Khamis bagi memberi ruang kepada pemiliknya membersihkan premis sebelum dinilai semula," kata Dr Narimah.







iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan