Bantuan Persekolahan RM100, Baucar Buku 1Malaysia Diteruskan

Diterbitkan: Jumaat, 23 Oktober 2015 8:05 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan RM100 bagi pelajar sekolah dan Program Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM250 bagi penuntut institusi pengajian tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 bertema "Mensejahtera Kehidupan Rakyat" di Dewan Rakyat hari ini berkata mulai Januari 2016, bantuan persekolahan itu hanya dikhususkan kepada pelajar sekolah dari kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Ini akan memanfaatkan 3.5 juta pelajar sekolah melibatkan peruntukan sebanyak RM35 juta, katanya.

Bagi mengelakkan salah guna Baucar Buku 1Malaysia yang boleh dimanfaat 1.2 juta penuntut, Perdana Menteri berkata kaedah penebusan akan diperkemaskan hanya di kedai-kedai buku yang diiktiraf.

Selain itu, Najib berkata program rancangan makanan tambahan yang hanya tertakluk kepada makanan waktu rehat akan diperluaskan kepada sarapan pagi melibatkan 550,000 pelajar dari keluarga miskin yang tersenarai dalam daftar eKasih membabitkan kos keseluruhan RM423 juta.

Perdana Menteri berkata keutamaan untuk mempersiaga modal insan adalah satu usaha yang amat kritikal untuk masa depan negara.

Justeru, beliau berkata kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM41.3 bilion pada 2016 di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Antara lain kerajaan akan membina 30 sekolah rendah, 27 sekolah menengah, empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Sik, Kedah, Ketereh dan Tanah Merah di Kelantan dan Bagan Datoh, Perak.

Di samping itu, kerajaan juga akan membina lima Sekolah Berasrama Penuh masing-masing di Alor Gajah, Pendang, Segamat dan Ledang di Johor serta Jerantut di Pahang.

Menurut Najib, untuk peringkat kelas prasekolah pula, sebanyak RM44.6 juta diperuntukkan untuk pelbagai program di 9,113 kelas seluruh negara.

Perdana Menteri berkata Bajet 2016 juga akan memperuntukkan RM135 juta bagi program memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris.

Oleh kerana Bahasa Inggeris amat penting dalam persaingan global semasa, maka dua lagi inisiatif iaitu Dual Language Programme dan Highly Immersive Programme akan dilaksanakan secara pilihan dengan kos RM3.5 juta.

"Dalam hal ini, 300 sekolah telah dikenal pasti bagi projek perintis," katanya.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Najib berkata kerajaan juga terus menyediakan peruntukan untuk membangun dan menyelenggara fasiliti pendidikan untuk sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, MRSM, Sekolah Pondok yang berdaftar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau Conforming School yang mengguna pakai kurikulum kebangsaan.

Peruntukan bagi tujuan itu melibatkan sejumlah RM500 juta, katanya.

Selanjutnya, Perdana Menteri berkata dalam menggalakkan pendidikan tinggi, had maksimum pelepasan cukai ke atas yuran pengajian pendidikan tinggi bagi pembayar cukai individu dinaikkan kepada RM7,000 daripada RM5,000 setahun.

Pembiayaan biasiswa juga diteruskan dengan agihan RM1.65 bilion melalui Jabatan Perkhidmatan Awam, RM288 juta melalui Kementerian Pendidikan, RM250 juta melalui Kementerian Pendidikan Tinggi dan RM258 juta melalui Kementerian Kesihatan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kemahiran Industri bagi menyelaras program Latihan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) dengan kerjasama pihak industri selaras dengan sasaran kerajaan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerja baharu adalah pekerja berkemahiran TVET menjelang 2020.

Najib berkata sebanyak RM4.8 bilion diperuntukkan kepada 545 Institusi TVET di bawah Bajet 2016.

Lebih 330,000 pelatih akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini melalui program ini dengan RM585 juta diperuntukan untuk peralatan latihan TVET di Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Kemahiran Mara, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, GiatMARA dan Kolej Vokasional.

Turut diperuntukkan RM350 juta untuk membiayai program di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dan RM80 juta untuk menubuhkan Akademi Pelancongan di Kolej Komuniti Kota Kinabalu, Kolej Vokasional Sandakan serta Institut Latihan Perindustrian Serian, Sarawak.-- Bernama



iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan