SRC Sangkal Laporan Malaysiakini, Gesa Peguam Negara Siasat

Diterbitkan: Khamis, 22 Oktober 2015 12:01 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: SRC International Sdn Bhd menyangkal laporan dua portal berita berhubung dakwaan kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri dan rajah kononnya aliran dana ke dalam akaun beliau, yang menyatakan pinjaman RM4 bilion diperoleh syarikat itu daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) telah disalah guna.

Dalam kenyataan di sini pada Rabu, syarikat itu berkata berdasarkan siasatan dalaman, dipercayai dakwaan itu berdasarkan dokumen yang telah dipalsukan dalam cubaan untuk sengaja mengelirukan orang ramai.

"Hakikatnya, semua RM4 bilion yang dipinjam daripada KWAP diambil kira di dalam kunci kira-kiranya, selaras dengan amalan piawaian perakaunan dan tadbir urus.

"Tiada satu sen pun daripadanya telah disalah guna seperti didakwa oleh mereka yang mempunyai niat jahat," katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada portal berita Sarawak Report dan Malaysiakini.

Syarikat itu berkata dakwaan palsu itu merupakan satu serangan yang serius terhadap SRC dan telah menyebabkan kesan kewangan yang negatif serta menjejaskan reputasi perniagaannya serta kerajaan dalam cubaan untuk memburuk-burukkannya dalam politik.

Mengenai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, kenyataan itu menyatakan sebarang perbelanjaan syarikat bagi program-program sosial  diambil daripada pendapatan tunai yang dijana menerusi pelaburannya.

"Selepas bertahun-tahun, pendapatan yang diraih dianggarkan RM500 juta tidak termasuk item bukan tunai lain, menyediakan pendapatan yang kukuh untuk syarikat gunakan bagi tujuan itu, katanya.

SRC menggesa Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan terbabit dan dakwaan kertas pertuduhan yang disiarkan oleh Sarawak Report dan rajah aliran dana yang diterbitkan Malaysiakini.

"Kami mahu pihak yang bertanggungjawab terhadap pemalsuan ini dikenal pasti, berikutan ketulenannya telah dinafikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 3 Ogos 2015,"kata SRC. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan