Jerebu: 24 Kanak-Kanak OKU Terkandas Di Langkawi Minta Sumbangan Dana

Diterbitkan: Khamis, 22 Oktober 2015 3:49 PM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Seramai 24 orang kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) yang terkandas di sini selepas penerbangan balik mereka ke Kuala Lumpur dibatalkan semalam terpaksa mengharapkan simpati orang ramai setelah mereka kehabisan dana selepas lawatan sambil belajar mereka ke sini.

Kanak-kanak OKU dari Kelas Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Serdang, Selangor itu sepatutnya balik menggunakan penerbangan pukul 9.10 malam tadi namun penerbangan berkenaan dibatalkan dan dijadualkan semula pukul 10.40 malam ini.

Situasi berkenaan turut menjejaskan 12 orang guru yang mengiringi mereka dan Penolong Kanan Pendidikan Khas sekolah itu, Rafeah Ali, yang mengetuai rombongan itu berkata dana mereka hanya mencukupi untuk lawatan selama tiga hari yang berakhir semalam.

"Kami telah menggunakan dana itu untuk pembayaran penginapan dan pengangkutan serta beberapa perbelanjaan lain dan kerana sudah habis digunakan terpaksalah kita memohon bantuan," katanya di sini, Khamis.

Beliau telah menggunakan aplikasi whatsapp untuk menyuarakan kesulitan mereka yang telah menjadi viral dan sampai ke pengetahuan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini yang telah tampil menghulurkan bantuan.

Selain bantuan yang disalurkan oleh Persatuan Ibubapa dan Guru-Guru sekolah itu, Rafeah berkata beberapa orang individu tempatan di sini turut menghulurkan sumbangan kewangan dan menyediakan penginapan sementara menunggu penerbangan mereka malam ini.

Sementara itu Pegawai Kebajikan Daerah Langkawi, Mohamad Arif Ishak, berkata pejabatnya akan menyediakan penginapan dan makanan untuk kanak-kanak OKU dan guru-guru mereka untuk semalam lagi sekiranya penerbangan mereka dibatal lagi hari ini.

"Situasi mereka ini agak unik sepanjang pengalaman saya kerana selama ini kita biasanya membantu mangsa-mangsa banjir atau kebakaran. Inilah kali pertama kita menghulurkan bantuan kepada mangsa jerebu," katanya.

Sementara itu, Pengurus Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Langkawi, Jefry Ramli berkata sebanyak 12 penerbangan telah dibatalkan hari ini berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk.

"Kita telah menutup landasan lapangan terbang selama lebih kurang dua setengah jam bermula pukul 7.30 pagi dan dibuka semula pukul 10.00 pagi kerana jarak penglihatan hanya terhad sehingga 550 meter," katanya.

Jefry berkata jerebu telah memberi kesan kepada operasi penerbangan di lapangan terbang itu sejak semalam apabila sebanyak 34 penerbangan telah dibatalkan dan telah menjejaskan kira-kira 2,900 orang penumpang.

Katanya operasi di terminal lapangan terbang di sini juga telah dilanjutkan sehingga lewat malam tadi memandangkan masih ramai lagi penumpang yang terkandas berada di sana dan memerlukan masa untuk mencari penginapan mereka.

Menurutnya, operasi terminal itu berjalan seperti biasa namun keputusan pengesahan atau pembatalan sebarang penerbangan akan dibuat oleh syarikat-syarikat penerbangan.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Langkawi berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar telah menunjukkan trend yang menaik sejak petang Selasa lepas sebelum mencapai tahap sangat tidak sihat awal pagi ini, iaitu 208.

Sehingga pukul 1.00 petang hari ini, IPU di pulau pelancongan ini kekal berada di tahap sangat tidak sihat pada bacaan 253.

Tags / Kata Kunci: Langkawi , Jerebu , OKU

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan