Pinjaman RM4 Bilion Daripada KWAP Termasuk Dalam Lembaran Imbangan - SRC

Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2015 8:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: SRC International Sdn Bhd berkata jumlah RM4 bilion yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) diambil kira dalam lembaran imbangannya, selaras dengan amalan piawaian perakaunan dan tadbir urus.

"Tidak ada sedikitpun yang disalah guna seperti didakwa oleh mereka yang berniat jahat.

"Kami menolak dakwaan ini sekeras-kerasnya. Selepas menjalankan siasatan dalaman, kami percaya dakwaan ini berdasarkan dokumen yang dipalsukan, sekali gus mencerminkan cubaan yang sengaja mahu mengelirukan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan bagi menyangkal laporan media yang mendakwa dana itu disalah guna.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat SRC berhubung dana RM4 bilion itu. Baru-baru ini suruhanjaya itu dilapor berkata kes berkenaan akan selesai sebelum akhir tahun ini.

Menurut SCR sebarang perbelanjaan syarikat dalam kegiatan sosial berkaitan tanggungjawab sosial korporatnya diambil daripada pendapatan tunai yang dijana menerusi pelaburannya.

Selepas bertahun-tahun, pendapatan yang diraih adalah sekitar RM500 juta tidak termasuk item bukan tunai lain, menyediakan pendapatan yang kukuh untuk syarikat gunakan bagi tujuan itu, kata SRC.

SRC turut meminta Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan terbabit dan dakwaan kertas pertuduhan yang disiarkan oleh Sarawak Report, blog yang kini diharamkan di Malaysia, serta rajah aliran dana yang diterbitkan oleh sebuah media dalam talian.

"Kami mahu mereka yang bertanggungjawab terhadap pemalsuan ini dikenal pasti, berikutan keasliannya telah dinafikan oleh SPRM pada 3 Ogos 2015.

"Dakwaan palsu terbabit merupakan satu serangan yang serius terhadap SRC dan menyebabkan kesan kewangan yang negatif serta menjejaskan reputasi perniagaannya, kata syarikat itu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: SRC International Sdn Bhd , KWAP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan