Pencarum KWSP Ada Pilihan Carum Simpanan Patuh Syariah

Diterbitkan: Selasa, 20 Oktober 2015 11:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai pilihan untuk mencarum simpanan KWSP patuh syariah di bawah KWSP Islamik (KWSP-I) apabila Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015 diluluskan nanti.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata cadangan itu bertujuan membolehkan pencarum KWSP membuat pilihan supaya kesemua amaun yang ada dalam kredit akaunnya diuruskan dan dilaburkan mengikut syariah.

Cadangan itu antara yang terkandung dalam pindaan terhadap Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Johari di Dewan Rakyat pada Selasa.

Turut dicadangkan ialah penubuhan dan fungsi Jawatankuasa Penasihat Syariah serta pelantikan ahli jawatankuasa bagi menasihati KWSP dan Panel Pelaburan dalam memastikan pengurusan akaun ahli mematuhi prinsip syariah.

"Selaras dengan pewujudan akaun ahli KWSP-I, Fasal 5 meminda Seksyen 27 bagi membolehkan dua kadar dividen diisytiharkan ke atas caruman wang ahli KWSP," kata Johari.

Pindaan Seksyen 45 pula memperuntukkan jika majikan gagal membayar caruman dalam tempoh tertentu sebagaimana yang ditetapkan, majikan bertanggungjawab membayar dividen ke atas caruman itu pada kadar dan mengikut cara serta pengiraan yang ditentukan oleh KWSP.

"Dengan mengambil kira dua dividen yang akan diisytiharkan, masing-masing untuk akaun KWSP dan KWSP-I, pengenalan dividen lewat bayar akan ditentukan oleh Lembaga," kata Johari.

Beliau berkata perkataan "faedah" turut dipinda kepada "caj lewat bayar" yang terpakai bagi semua akaun.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Rabu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: KWSP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan