Speaker Terima Atau Tidak, Wan Azizah Nekad Kemuka Usul Undi Tak Percaya

Diterbitkan: Selasa, 20 Oktober 2015 5:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan nekad untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun hasrat untuk ia dibentangkan pada persidangan kali ini adalah tipis.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau bersama dua pemimpin lain mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Saya bersama dengan beberapa rakan pemimpin telah bertemu dengan Tan Sri Pandikar sebentar tadi. Ia satu pertemuan yang baik, berlaku dalam suasana kekeluargaan.

"Isu undi tidak percaya ini telah dibincangkan. Saya akan masukkan usul ini dalam masa terdekat dan sesuai... media akan dimaklumkan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Turut sama pada sidang media itu adalah ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul dan Naib Presiden parti Tian Chua yang menyertai dalam pertemuan kira-kira 45 minit dengan Speaker.

Katanya, usul yang belum dihantar itu belum ditolak, justeru beliau tidak mahu berfikir tentang kemungkinan itu.

"Itu (usul ditolak) saya rasa terpulang kepada Speaker.

"Masanya belum tiba lagi, kita tunggu dan lihat, pada masa dan saat yang sesuai. Sekarang ini biarlah saya katakan pertemuan itu positif dan saya akan menfailkannya,” katanya.

Mengenai usul undi tidak percaya oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loi Sian yang telah diluluskan Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan kali ini, Dr Wan Azizah berkata, beliau akan menasihatkan Loi Sian supaya menarik balik usul itu.

Terdahulu, Pandikar telah membuat penjelasan di dewan persidangan apabila Dr Wan Azizah pada Isnin mengumumkan akan mengemukakan usul undi tidak percaya yang baharu kepada Parlimen dan usul yang dihantar sebelum ini akan ditarik balik.

Pandikar berkata, sekali pun ia diterima, ia hanya akan dibahaskan pada persidangan akan datang.

Katanya, usul itu perlu dilakukan mengikut Peraturan Mesyuarat yang memerlukan ia dilakukan 14 hari sebelum bermulanya prosiding Parlimen.

Tags / Kata Kunci: Parlimen , Pakatan Harapan , PKR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan