El Nino Tidak Cukup Elak Banjir Di Beberapa Kawasan Di Semenanjung

Diterbitkan: Ahad, 18 Oktober 2015 10:54 AM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Walaupun ramalan cuaca meramalkan fenomena El Nino akan berlaku, beberapa bahagian di Pahang, Johor dan Sarawak dijangka tetap akan dilanda banjir tidak lama lagi.

Musim monsun timur, yang bermula akhir bulan ini, dijangka membawa hujan lebat yang akan turun di negeri-negeri berkenaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, walaupun El Nino akan menyebabkan keadaan lebih kering dalam tempoh beberapa bulan akan datang di Semenanjung, ia tidak cukup untuk menghalang banjir daripada terus berlaku pada akhir Disember tahun ini.

El Nino juga dijangka akan menyebabkan hujan yang lebih di bahagian barat Sarawak, meningkatkan kemungkinan banjir di kawasan itu, antara Januari dan Mac.

"Kami tidak menjangkakan sebarang hujan tahap melampau di negeri-negeri di pantai timur semenanjung disebabkan El Nino, tetapi kita masih menjangkakan berlakunya banjir, walaupun tidak teruk seperti tahun lepas.

"Bahagian barat Sarawak biasanya akan mendapat lebih banyak hujan semasa El Nino, jadi kemungkinan banjir di kawasan itu dijangka tinggi dari Januari hingga Mac," kata jurucakap jabatan Dr Hisham Mohd Anip.

El Nino adalah satu fenomena cuaca yang tidak teratur yang menyebabkan suhu laut di Lautan Pasifik khatulistiwa meningkat, yang membawa kepada hujan lebat luar biasa di beberapa bahagian di dunia dan kemarau di tempat lain.

El Nino paling teruk berlaku pada 1997-1998, menjadikan tahun itu sebagai tahun paling panas dalam rekod, begitu juga banjir, ribut taufan, kemarau dan kerosakan besar terhadap pengeluaran makanan.

Pada Disember tahun lepas, beberapa negeri termasuk Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang dilanda salah satu daripada banjir terburuk dalam rekod berikutan monsun timur laut.

Hisham berkata tengkujuh biasanya bermula pada awal November tetapi disebabkan El Nino, ia dijangka tiba lebih awal tahun ini, mungkin pada akhir bulan ini.

Monsun timur laut akan membawa hujan ke Semenanjung Malaysia sebelum berpindah ke bahagian barat Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata pelbagai agensi kerajaan telah menyediakan pusat pemindahan mangsa banjir.

Beliau berkata, dengan mengambil petunjuk dan pengajaran yang diperoleh tahun lepas, beberapa langkah telah diambil untuk memberi bantuan yang lebih baik kepada mangsa.

Ini termasuk memasang sehingga 2,000 bilik air dan tandas mudah alih di pusat-pusat pemindahan.

Selain menyimpan bekalan makanan untuk mangsa banjir di lokasi berpusat di daerah-daerah, depot makanan akan ditubuhkan di setiap kelompok masyarakat yang mungkin akan terjejas, di tempat-tempat seperti sekolah dan masjid.

"Dengan cara ini ia akan membolehkan bekalan tiba kepada mangsa dengan lebih cepat," kata Shahidan.

Beliau berkata pihak berkuasa kini dalam proses untuk menghubungi badan-badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta yang berminat untuk membantu mangsa banjir.

"Kami telah berhubung dengan 83 NGO dan berharap menjelang Khamis, kami dapat melengkapkan keseluruhan proses itu," kata Shahidan.
Tags / Kata Kunci: El Nino , kemarau , banjir besar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan