Amanah Dakwa Nombor Telefon Beberapa Pemimpin Digodam

Diterbitkan: Ahad, 18 Oktober 2015 1:30 PM

Mohd Anuar Tahir

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa nombor telefon bimbit mereka digodam.

Setiausaha Agung parti Mohd Anuar Tahir berkata beliau menerima laporan menyatakan nombor telefon beberapa setiausaha Amanah peringkat negeri digunakan untuk menghantar mesej palsu berhubung keahlian dan menghina pihak tertentu.


"Kami tidak menolak kemungkinan tindakan ini sebagai cubaan mengganggu dan menyekat gelombang penyertaan rakyat ke dalam parti Amanah yang semakin pesat waktu ini khususnya di peringkat kawasan.

"Walau apa cara sekalipun digunakan untuk menyekat usaha kami, ia sama sekali tidak akan mematahkan semangat para petugas parti Amanah untuk terus mendampingi rakyat," katanya dalam satu kenyataan media, Ahad.

Mohd Anuar berkata setakat ini nombor telefon yang digodam adalah milik setiausaha Amanah Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Perlis, Pahang dan Kelantan.

Katanya, mereka hanya mengetahui tentang hal ini selepas mendapat mesej balas daripada penerima yang menghubungi mereka.

"Pasukan teknikal Amanah sedang menyiasat kes ini dan mereka yang nombornya terlibat digodam, dinasihatkan membuat laporan polis.

"Kepada ahli dan orang ramai, khususnya penerima mesej palsu itu, saya mengharapkan anda bersabar dan tidak mudah keliru dengan permainan politik jijik ini," katanya.

Jelasnya, kes ini bukan pertama kali berlaku dan sebagai sebuah parti baharu, Amanah mengambilnya sebagai risiko yang terpaksa dihadapi dalam usaha memposisikan parti di persada politik tanah air.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan