Saifuddin Abdullah Umum Sertai PKR

Diterbitkan: Khamis, 15 Oktober 2015 12:56 PM

Saifuddin Abdullah.

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah pada Khamis mengisytiharkan keluar parti itu untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu diumumkan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di ibu pejabat PKR di sini.

Saifuddin berkata, beliau memilih untuk menyertai PKR kerana merasakan dirinya tidak lagi sesuai dengan Umno dan Barisan National (BN). 

Beliau menambah, beliau tertarik dengan model kepelbagaian kaum di dalam PKR tidak sepertimana BN. 

"Saya menyifatkan langkah ini adalah satu keputusan yang besar bagi seorang yang kerdil seperti saya," katanya dalam nada sinis.

Menurut Saifuddin, beliau menyertai politik untuk objektif yang lebih besar daripada kepentingan diri dan juga kepentingan parti. 

Perjuangannya adalah untuk mewujudkan Malaysia yang lebih baik untuk semua orang. 

“Perjuangan itu memerlukan perubahan yang sangat besar. Bagi saya dua perkara yang perlu dilakukan; pertama perubahan politik dan kedua reformasi institusi,” ujarnya lagi.

Kedua-dua isu ini dijuarai oleh Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan, kata Saifuddin lagi.

Dua isu ini, kata Saifuddin malangnya tidak dibincangkan secara komprehensif di dalam Umno dan juga BN. 

"Itulah sebabnya saya merasakan yang saya tidak lagi berasa sesuai terus kekal di dalam Umno dan BN," katanya.

Sehubungan dengan itu Saifuddin menambah yang beliau akan meletakkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif Global Movement of Moderation (GMM) sebaik sahaja pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail kembali dari luar negara.

Saifuddin pernah menyandang jawatan sebagai timbalan menteri pengajian tinggi.

Pada pilihan raya 2013, Saifuddin tewas kerusi parlimen Temerloh yang disandangnya kepada calon PAS, Hassan Tantawi.

Selepas itu beliau turut kehilangan kerusi anggota Majlis Tertinggi Umno yang diadakan selepas pilihan raya umum.

Saifuddin baru-baru ini diberikan surat tunjuk sebab oleh Umno kerana menghadiri persidangan meja bulat pihak pembangkang pada 21 September lalu.


Tags / Kata Kunci: Saifuddin Abdullah , PKR , Umno

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan