Manfaat Ekonomi Digital Kini Dirasai Rakyat, Organisasi - Najib

Diterbitkan: Khamis, 15 Oktober 2015 3:00 PM

Najib Tun Razak.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Manfaat inisiatif ekonomi digital Malaysia telah mula diraih rakyat dan organisasi, dan antara kumpulan terbesar yang menikmatinya ialah rakyat Malaysia yang berada dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam ucapan perasmian mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia ke-27, di sini Khamis, Perdana Mneteri berkata mereka mendapat manfaat melalui inisiatif seperti eRezeki yang membolehkan mereka meraih pendapatan tambahan melalui kaedah digital.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) akan mengambil konsep pendapatan digital untuk rakyat ke tahap yang lebih tinggi dengan pengenalan eUsahawan.

Semasa berkongsi cerita kejayaan inisiatif eRezeki, Najib memberi contoh mengenai seorang lelaki bekerja sendiri di Kuala Lumpur, Yazid Mohd Zaiki, yang dalam tempoh dua bulan memperoleh hampir RM2,000 dengan melakukan tugas digital mudah manakala setiausaha eksekutif dari Sawarak, Bong NN, meraih lebih RM600 dengan menjalankan tugas-tugas berkaitan foto.

"Selain pencapaian dalam ekonomi modal, manfaat inisiatif ekonomi digital negara telah mula sampai kepada rakyat dan organisasi," katanya.

Seiring dengan usaha untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, ialah usaha bersepadu untuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui cara digital, khususnya e-dagang, katanya.

Beliau berkata usaha MDeC bagi acara penting e-dagang, #MYCyberSALE, yang serupa dengan 'Cyber Monday' di Amerika Syarikat, berakhir buat kali kedua dengan rekod jualan sebanyak RM115 juta, hampir dua kali ganda angka tahun lepas.

Selain itu, Najib berkata Malaysia telah meletakkan asas untuk mengambil kesempatan daripada pelbagai peluang yang ditawarkan oleh teknologi terkini seperti 'Big Data Analytics' (BDA) dan 'Internet of Things' (IoT), yang telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-11.

"Bagi Malaysia untuk membina ekonomi digital yang cergas, adalah penting untuk mempunyai ekosistem membolehkan yang kukuh, terdiri daripada bakat teknologi maklumat dan komunikasi bertaraf dunia untuk memenuhi permintaan teknologi yang semakin meningkat dan infrastruktur digital bagi penyambungan yang lancar," kata beliau.

Najib berkata ekonomi digital di negara ini sedang menuju ke arah yang betul, mencapai 17 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2014, iaitu sasaran awalnya yang ditetapkan untuk tahun 2020.

Beliau berkata MSC Malaysia, yang merupakan asas kepada ekonomi digital negara, telah menyumbang lebih RM295 bilion dalam pendapatan kepada ekonomi Malaysia, RM283 bilion nilai pelaburan dan lebih 147,000 pekerjaan sejak ditubuhkan pada 1996.

MSC Malaysia adalah inisiatif ICT negara yang direka untuk menarik syarikat-syarikat teknologi bertaraf dunia di samping membentuk industri ICT tempatan.

"MSC Malaysia juga terus menarik pelaburan dari syarikat-syarikat bertaraf dunia dan canggih dalam pelbagai industri," kata beliau.

Najib berkata beliau gembira melihat kemajuan yang dicapai MDeC, terutamanya dalam memperkukuh agenda kebangsaan Digital Malaysia.

"Saya yakin MDeC akan terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin ICT dan pemacu ekonomi digital," kata perdana menteri.

"Hari ini, peluang-peluang baru kerap diperoleh daripada inovasi dan penggunaan teknologi digital.

"Sesungguhnya, dunia digital terus meresapi setiap aspek kehidupan kita di pelbagai peringkat usia, yang membawa kepada persekitaran yang baru kesalinghubungan," kata beliau.

Mesyuarat ini dihadiri antara lain Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Yasmin Mahmood. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: ekonomi digital , Najib Tun Razak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan