Ahli Umno Boleh Bersuara, Guna Saluran Betul

Diterbitkan: Khamis, 15 Oktober 2015 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Terdapat persepsi bahawa ahli Umno mungkin biasanya mendiamkan diri dan tidak bersuara menentang pemimpin mereka.

Ahli Umno, bagaimanapun menegaskan bahawa peringkat akar umbi parti dan pemimpinnya, banyak kali menyuarakan rasa tidak puas mereka melalui platform yang betul.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kepimpinan parti membenarkan peringkat akar umbi menyuarakan kritikan mereka.

"Kami sentiasa bebas untuk bersuara. Itulah sebabnya dalam mesyuarat bahagian baru-baru ini, anda terdengar ahli mengkritik presiden dan bercakap mengenai pelbagai isu termasuk 1MDB," katanya.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa ahli parti supaya jangan takut menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan tertinggi parti sekiranya ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

Ismail Sabri mengulangi pendirian bahawa parti itu tidak pernah menghalang ahlinya untuk bersuara.

"Namun ia perlu melalui saluran yang betul kerana kita mahu mengkritik untuk kebaikan parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang kita," katanya.

Semasa mesyuarat bahagian baru-baru ini, seorang bekas ahli Wanita Umno menarik perhatian media berikutan lantang dalam mengkritik presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun tiada tindakan diambil ke atas beliau kerana mengkritik presiden secara terbuka, Anina Saadudin dipecat daripada parti itu apabila memfailkan saman terhadap Najib berhubung kontroversi wang derma sebanyak RM2.6 bilion.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Bera, Mohd Zoolishan Ahmad berkata tidak timbul isu sekiranya menyuarakan ketidakpuasan hati melalui platform yang betul.

"Kita mempunyai peringkat bahagian, Majlis Tertinggi, jawatankuasa perhubungan negeri dan juga Perhimpunan Agung Umno untuk bersuara. Hanya guna saluran yang betul untuk menyuarakan pendapat anda," katanya.

Ketua Penerangan Umno Johor Baru, Abu Talib Alias berkata mereka tidak akan menghalang peringkat akar umbi untuk bersuara sambil mengakui beliau juga menyatakan rasa tidak puas hati mengenai beberapa isu termasuk 1MDB.

"Kepimpinan parti memahami perkara ini dan mereka turut mendengar luahan hati kami," katanya.


Tags / Kata Kunci: Umno , Ismail Sabri Yaakob

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan