Ulama, Profresional Islam Perlu Perjelas Maksud Islam Sebenar - PM

Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2015 1:56 PM

Najib memperkatakan sesuatu kepada Tokoh Ma'al HIjrah Peringkat Kebangsaan Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad selepas penyerahan anugerah tersebut pada majlis Perhimpunan Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1437H/2015M di Masjid Negara, Rabu. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha (kiri) serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ulama dan profesional Islam perlu menjelaskan maksud Islam sebenar bagi menangkis idea keganasan dan gerakan ekstremis di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata golongan berkenaan perlu tampil mengetengahkan pelan tindakan, strategi dan program yang boleh dilaksanakan kerajaan bagi tujuan merawat dan mematikan ideologi dan idea keganasan.

"Kita berdepan dengan idea-idea keganasan dan gerakan ekstremis dan gerakan ini boleh membawa kesan buruk kepada dunia Islam,(mengenai) bagaimana umat Islam yang seakidah boleh dihalalkan pembunuhan mereka," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Ma'al Hijrah peringkat kebangsaan bagi tahun 1437 Hijrah di Masjid Negara di sini, Rabu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sambutan bertemakan 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' itu julung kali diadakan di Masjid Negara sempena jubli emas masjid berkenaan dan kedudukannya sebagai mercu tanda Islam di negara ini.

Najib berkata para ulama dan golongan profesional juga perlu menggunakan segala medium yang ada bagi memberi penjelasan tentang apa yang terkandung dalam ajaran Islam yang sebenar khususnya kepada generasi muda.

Katanya, penjelasan mengenai Islam harus dikupas satu persatu bagi mengelak kekeliruan kerana Islam bukan merupakan agama yang memusuhi agama lain.

Pada majlis sambutan itu, Perdana Menteri turut berikrar akan terus memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin daripada ditindas rejim Zionis.

Beliau berkata nasib rakyat Palestin perlu dibela kerana mereka telah dihina dan dilayan seperti manusia yang tidak mempunyai sebarang hak.

"Sebab itulah di Bangsa-Bangsa Bersatu saya sebutkan bahawa perjuangan rakyat Palestin wajib kita bela dan saya akan teruskan perjuangan ini bagi pihak umat Islam di Malaysia," katanya yang menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.

Dalam pada itu, Najib berkata langkah Malaysia menerima kemasukan 3,000 rakyat Syria juga atas dasar bantuan kepada umat Islam yang memerlukan pertolongan.

Katanya usaha itu dapat dilakukan kerana Malaysia berada dalam keadaan aman, makmur dan bercita-cita menjadi sebuah negara maju berteraskan Islam.

"Inilah kebanggaan kita, jangan kita biarkan ini hancur lebur. Jangan kita biarkan sesiapa bersekongkol dengan mana-mana pihak dalam dan luar negara untuk menghancurkan apa yang telah dicapai selama ini," katanya. -- Bernama 



Tags / Kata Kunci: Islam , Ma'al Hijrah , Jamil Khir Baharom

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan