Dua Tapir Malayan 'Berbulan Madu' Di Jepun Selama 10 Tahun

Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2015 8:13 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Dua ekor Tapir Malayan bakal memulakan perjalanan mereka ke Jepun untuk kehidupan 'bulan madu' selama 10 tahun apabila Malaysia dan Jepun menandatangani perjanjian untuk kerjasama memulihara tapir.

Perjanjian itu ditandatangani antara ketua pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia Datuk Abd Rashid Samsudin dan pengarah Nagasaki Bio Park, Satoshi Yamaguchi.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, di sini, Selasa.

Di bawah perjanjian tersebut sepasang tapir Malayan jantan berumur dua tahun dikenali sebagai Im, dan tapir betina, Bertam berumur tiga tahun akan dihantar ke Jepun untuk tempoh dua minggu bermula hari ini.

Kedua-dua tapir itu dari Pusat Pemuliharaan Tapir di Sungai Dusun, Selangor.

Melalui kerjasama itu tapir akan ditempatkan di Nagasaki Bio Park di persekitaran yang hampir serupa dengan habitat asal.

Wan Junaidi dalam ucapannya berkata kerjasama seumpama itu menyediakan peluang yang cukup kepada pasukan penyelidikan Perhilitan dan Nagasaki Bio Park menjana dan berkongsi ilmu dan maklumat mengenai pengurusan hidupan liar, pelancongan eko, pengurusan taman dan program pembiakan.

Katanya, tapir Malayan merupakan hidupan liar yang unik dan terbesar kalangan empat spesies tapir hidup.

Ia merupakan spesies tunggal berwarna hitam dan putih.

"Ia dianggap binatang berhabitat umum yang bermakna taburan meluas termasuk kawasan paya gambut dan kawasan rendah gunung yang berhutan. Dianggarkan terdapat antara 1,100-,1500 tapir yang hidup dalam habitat liar," jelasnya.

Sementara itu Miyagawa dalam ucapannya berkata tapir merupakan binatang yang memukau dan pasangan tabir terbabit akan dibenarkan untuk bergerak secara bebas dan berinteraksi dengan para pelawat Nagasaki Bio Park.

"Ada alasan spesifik masyarakat Jepun dengan tapir. Terdapat mitologi Jepun bahawa tapir memakan manusia dan kami berharap tapir-tapir ini akan menghapuskan kengerian ini," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan