Peguam Negara Adakan Sidang Akhbar, Baca Kenyataan Media Dan Berlalu Pergi

Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2015 8:16 AM

Tan Sri Mohd Apandi Ali tiba di bilik persidangan di pejabatnya di Putrajaya untuk mengadakan sidang akhbar, Selasa. -fotoTHESTAR/AzharMahfof

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Banyak yang telah berlaku sejak Tan Sri Mohd Apandi Ali mengambil alih tugas sebagai Peguam Negara pada Julai.

Apabila pejabatnya memberitahu bahawa beliau akan mengadakan sidang akhbar yang pertama sejak memegang jawatan itu, ia adalah sesuatu yang mengejutkan.

Sebelum ini, komunikasi Mohd Apandi dengan media sebahagian besarnya terhad kepada penyiaran kenyataan-kenyataan akhbar dari Jabatan Peguam Negara.

Kenyataan terkininya adalah mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang 'bersih' daripada sebarang salah laku walaupun Bank Negara berkata sebaliknya.

Mohd Apandi, 65, dari Mahkamah Persekutuan telah dilantik menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail, yang secara tiba-tiba dilepaskan daripada kedudukannya hanya beberapa bulan sebelum persaraannya.

Pada masa itu, Abdul Gani adalah seorang ahli pasukan petugas khas yang diberi mandat untuk menyiasat pelbagai tuduhan melibatkan 1MDB.

Jadi, tidak menghairankan apabila terdapat kehadiran media yang besar di pejabat MOhd Apandi di Putrajaya, Selasa.

Lebih daripada 50 wartawan, termasuk krew televisyen, menunggu di sekitar lobi Jabatan Peguam Negara.

Pada pukul 2.40 petang, rombongan telah dibawa ke bilik persidangan besar di tingkat 11 dan menerima berita buruk bahawa tidak akan ada sesi soal jawab.

Seorang pegawai dari Jabatan Peguam Negara membuat pengumuman itu walaupun krew kamera sibuk mempersiapkan peralatan mereka.

Ia adalah satu kekecewaan sebenar.

Ramai yang pergi ke Putrajaya untuk bertanya Mohd Apandi tentang banyak isu, terutama keputusan Jabatan Peguam Negara terhadap 1MDB dan tangkapan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas (Sosma) baru-baru ini.

Beberapa minit kemudian, Mohd Apandi berjalan masuk ke dalam, diiringi oleh pegawai-pegawainya. Antara mereka ialah Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Peguam Negara sangat 'sporting' apabila bergambar. Beliau lantas memberi kata aluan dan seterusnya membaca dua siaran akhbar mengenai di 1MDB dan Sosma.

Mengenai Sosma, Mohd Apandi menegaskan Khairuddin dan Chang tidak didakwa di bawah Sosma tetapi di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, yang merupakan kesalahan keselamatan.

Tambahnya Sosma meliputi semua kesalahan keselamatan dan tidak terhad kepada keganasan dan pengganas.

Mohd Apandi mengambil masa 18 minit untuk membaca kedua-dua kenyataan tiga muka surat itu. Kemudian Mohd Apandi dan rombongannya minta diri dan berjalan keluar.

Pegawai yang bertanggungjawab sekali lagi mengingatkan media bahawa tidak ada sesi soal jawab dan memberitahu pemberita mereka boleh mengambil kenyataan akhbar di luar bilik persidangan.

Dengan itu, 'sidang akhbar pertama' Mohd Apandi sebagai Peguam Negara pun berakhir.

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan