Jobstreet.com-Talentcorp Kerjasama Lahirkan Siswazah Sedia Hadapi Dunia Pekerjaan

Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2015 1:13 PM

Gambar Hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) and JobStreet.com bertukar-tukar Memorandum Persefahaman (MOU) bagi menandakan kerjasama dalam inisiatif Zon Penglibatan Industri TalentCorp (Ind-E-Zone) bagi memastikan pelajar bersedia dengan lebih baik dalam proses mencari pekerjaan.

Pengurus negara JobStreet.com, Chook Yuh Yng berkata dalam satu kenyataan, kerjasama itu akan terus memberi manfaat kepada pelajar dalam usaha mereka mendapatkan pekerjaan sebaik tamat pengajian.

"Ini bagi melengkapkan pelajar untuk peluang kerjaya dan akhirnya membangunkan tenaga kerja yang lebih kukuh selaras dengan Wawasan 2020 Malaysia," katanya.

Sebagai sebahagian daripada langkah-langkah yang didorong oleh TalentCorp untuk meningkatkan kebolehpekerjaan untuk siswazah, Ind-E-Zone akan menghimpunkan universiti dan majikan utama bagi meningkatkan perkhidmatan kerjaya di universiti awam.

Ind-E-Zone ialah pusat sehenti maklumat kerjaya yang menghubungkan pelajar kepada kandungan yang relevan dengan industri dan mendidik mereka mengenai peluang latihan dan kerjaya dalam industri utama Malaysia.Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Johan Mahmood Merican berkata mereka akan bekerjasama dengan JobStreet.com bagi meningkatkan aktiviti Ind-E-Zone bagi membuka pelbagai platform untuk bakat-bakat muda mendapatkan maklumat dan peluang yang diperlukan mereka untuk merangka pembangunan profesional mereka.

Kami yakin usahasama dengan JobStreet.com akan meningkatkan pusat-pusat  Ind-E-Zone di seluruh Malaysia bagi menyediakan lebih banyak kandungan dan penglibatan yang lebih kemas kini dan industri yang relevan bagi membantu pelajar universiti Malaysia bersiap sedia untuk dunia pekerjaan," katanya.

TalentCorp memperkenalkan Ind-E-Zone untuk merapatkan jurang antara majikan dan universiti. Ind-E-Zone yang pertama ditubuhkan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada November tahun lepas.

Menjelang akhir tahun ini, terdapat 11 Ind-E-Zone semuanya diwujudkan di universiti-universiti awam di seluruh Malaysia.-- Bernama




Tags / Kata Kunci: JobStreet.com , Chook Yuh Yng , TalentCorp

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan