"Tiada Keperluan Semak Semula Keputusan Tutup Kes 1MDB"

Diterbitkan: Selasa, 13 Oktober 2015 5:27 PM

Apandi Ali

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk Jabatan Peguam Negara menyemak semula keputusannya menutup siasatan Bank Negara Malaysia ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, keputusan itu dibuat susulan pihaknya tidak menerima sebarang bukti baharu berhubung perkara berkenaan.

"Setakat yang 1MDB faham, pihak yang berkenaan perlu untuk mengisi borang berkaitan sebelum bertindak balas kepada pertanyaan oleh Bank Negara.

"Jika Bank Negara tidak meminta maklumat tertentu, bagaimana 1MDB boleh disalahkan kerana ia telah mengisi borang seperti yang dikehendaki dan menjawab pertanyaan yang diajukan?

"Pegawai di 1MDB pada masa material, iaitu semasa proses mendapatkan kebenaran telah mematuhi arahan yang diberikan, maka kebenaran diberikan," kata Mohamed Apandi.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya pada Selasa, Mohamed Apandi menegaskan bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesalahan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.

Katanya, 1MDB memperoleh tiga kebenaran daripada Bank Negara untuk membuat kiriman wang, pada 29 September 2009 , 6 September 2010 dan 20 Mei 2011.

Pada 9 Oktober lalu, Bank Negara mengeluarkan kenyataan membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 terhadap pelaburan di luar negeri bernilai US$1.83 bilion (RM7.52 bilion).

Selain itu Bank Negara berkata ia juga mengeluarkan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kepada 1MDB untuk membawa balik jumlah tersebut ke Malaysia dan mengemukakan satu perancangan kepada bank pusat itu berkaitan dengan perkara tersebut.

Kenyataan Bank Negara itu merujuk kepada keputusan Jabatan Peguam Negara yang mendapati pegawai-pegawai 1MDB yang disiasat di bawah ECA tidak membuat sebarang kenyataan palsu.

Ia berkata keputusan itu "berkait dengan saranan bank itu supaya pendakwaan jenayah dibuat terhadap 1MDB atas pelanggaran di bawah ECA."

Tags / Kata Kunci: 1MDB , Mohamed Apandi Ali , Bank Negara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan