MCA Akan Teruskan Perjuangan Dalam BN - Liow

Diterbitkan: Ahad, 11 Oktober 2015 1:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA akan terus bersama Barisan Nasional (BN) dalam menggalas tanggungjawab untuk memajukan Malaysia atas dasar kebersamaan dan kesefahaman antara kaum.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata persepsi rakyat terhadap parti itu dan BN juga perlu terus diperkukuh dalam meneruskan agenda t0ransformasi parti dan negara.

"Bangkitlah kita bersama-sama bersatu padu berganding bahu dalam memastikan bukan sahaja kesinambungan BN terjamin, malah apa yang lebih utama ialah memastikan masa hadapan bumi Malaysia yang tercinta ini terjamin, aman dan makmur selama-lamanya," katanya dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-62 di Wisma MCA di sini, Ahad.

Perhimpunan itu dirasmikan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Liow berkata MCA juga berikrar akan sentiasa meneruskan perjuangan dan terus menyokong kepimpinan perdana menteri untuk melaksanakan dasar kesederhanaan, keharmonian, dan perpaduan dalam kepelbagaian, selaras dengan semangat yang didokong BN.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan Majlis Rekonsilasi Tadbir Urus Politik, Hal Ehwal Agama dan Perpaduan bagi menyelesaikan isu ketegangan kaum, perbezaan fahaman agama dan sosioekonomi masyarakat.

"Sudah tiba masanya kita perlu melakukan sesuatu untuk menangani isu perkauman yang sedang kita hadapi. Jurang pemikiran antara kaum, jurang pemikiran antara generasi, serta jurang pemikiran antara masyarakat bandar dan luar bandar perlu ditangani dengan segera," katanya.

Liow juga berkata MCA akan terus menekankan nilai-nilai murni seperti tadbir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti dan integriti yang akan terus diberi keutamaan oleh MCA.

Dalam ucapan dasarnya, Liow turut mengkritik DAP dengan mendakwa 'pendekatan konfrontasi' yang dipraktikkan mereka ini akan membawa kerugian terutamanya kepada masyarakat Cina dan akhirnya rakyat akan menjadi mangsa.

Justeru, Liow berkata MCA akan tetap berpegang teguh dengan prinsip kesederhanaan, keharmonian dan perpaduan dalam semua pendekatannya dan tidak akan sesekali memainkan isu perkauman.

Sementara itu, mengulas mengenai aspek ekonomi, Liow berkata sejak pelancaran Kemajuan Keusahawanan Malaysia (SAME) pada Julai lalu bagi membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS), sebanyak RM26.6 juta telah diluluskan di bawah pembiayaan Kojadi kepada 124 pemohon.

Menyedari kepentingan pembiayaan kewangan bagi pembangunan IKS, MCA akan membuat permohonan bagi menubuhkan sebuah Bank Koperasi Kojadi bagi memperkasakan pembangunan ekonomi dan transformasi secara berkesan.

Seramai 1,761 orang perwakilan atau 74.1 peratus daripada 2,357 perwakilan seluruh negara menghadiri perhimpunan tahun ini.

Tags / Kata Kunci: BN , MCA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan