Arul Kanda Sedia Hadiri Prosiding PAC Mengenai 1MDB

Diterbitkan: Sabtu, 10 Oktober 2015 6:45 PM

ARUL KANDA

Arul Kanda Kandasamy.

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

KUALA LUMPUR: Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda berkata, beliau bersedia untuk menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan jawapan beliau menjadi sebahagian daripada rekod awam. 

Beliau berkata, tidak perlu bagi beliau untuk "berbohong atau menyembunyi" apa yang telah berlaku pada masa lalu, seperti yang didakwa oleh mereka yang membuat dakwaan sensasi untuk agenda politik sendiri.

"Oleh itu, saya berharap untuk disoal secara terperinci mengenai perkara ini pada prosiding PAC akan datang dan jawapan saya menjadi sebahagian daripada rekod awam, bagi menyelesaikan perkara ini," kata Arul Kanda.

Menurut laporan sebelum ini, prosiding PAC mengenai 1MDB telah ditangguhkan kepada suatu tarikh yang belum ditetapkan. Tarikh-tarikh yang ditetapkan sebelum ialah pada 4,5,6,17 Ogos dan 18 serta 8 dan 10 September, 2015. 

PAC kini hanya mempunyai sembilan anggota selepas empat yang lain termasuk pengerusi, telah dilantik menjadi anggota Kabinet pada 29 Julai.

Pelantikan pengerusi PAC dan anggotanya dijadual dibuat selepas anggota Jawatankuasa Pemilih, yang bertanggungjawab untuk melantik anggota PAC, digantikan dan dilantik semasa sesi parlimen akan datang yang bermula pada 19 Oktober 2015.

"Sebagai Presiden, saya menjawab kepada lembaga pengarah dan para pemegang saham 1MDB. Rekod prestasi saya yang baik membuktikannya dan hanya agenda profesional saya untuk menangani cabaran dalam 1MDB," kata Arul Kanda dalam satu kenyataan akhbar dua muka surat yang antara lain menjawab dakwaan terbaru daripada Sarawak Report, blog yang kini diharamkan di Malaysia, yang mendakwanya berbohong tentang wang tunai di bank dalam artikel terbarunya. 

Beliau berkata, walaupun Sarawak Report telah menerbitkan beberapa dokumen yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB sebelum ini: "Saya boleh mengesahkan bahawa - dalam kes ini - ia seolah-olah telah menerbitkan satu dokumen 1MDB yang sah, iaitu minit mesyuarat lembaga pengarah pada 12 Januari 2015.

Arul Kanda berkata, ia adalah mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pertama yang beliau hadiri, yang diadakan genap seminggu selepas beliau menyertai syarikat itu pada 5 Januari 2015.

Pada mesyuarat itu, beliau mengakui bahawa beliau menyatakan kepada lembaga pengarah, berdasarkan pemahaman beliau tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum beliau, bahawa penebusan unit dana dibuat secara tunai bagi sejumlah AS$940 juta. 

Bagaimanapun, apabila siasatan lanjut dan pengesahan, adalah jelas bahawa ini adalah salah faham, yang kemudiannya beliau jelaskan kepada lembaga pengarah dan Kementerian Kewangan.

Penjelasan ini jelas dicatatkan dalam minit mesyuarat lembaga pengarah berikutnya dan boleh disahkan, katanya. 

"Pada 13 Januari 2015, saya mengesahkan melalui satu kenyataan media bahawa baki AS$1.11 bilion telah ditebus, sepenuhnya. Malangnya, tidak dibuat secara jelas, adalah bahawa penebusan berlaku sebahagiannya secara tunai dan sebahagiannya melalui jualan unit dana, dengan bayaran tunai tertangguh.

Beliau berkata, perbezaan yang penting inilah yang menyebabkan salah tafsir kenyataan beliau, pertama dalam satu wawancara media pada 9 Februari 2015 dan kemudiannya oleh Kementerian Kewangan, dalam jawapan di Parlimen pada 12 Mac 2015.

"Saya telah menerangkan secara terperinci mengenai urutan peristiwa kepada Jabatan Audit Negara dan kepada juruaudit 1MDB, Deloitte, sebagai sebahagian daripada kajian terperinci dan profesional mereka bagi transaksi 1MDB sebelumnya. 

"Selain itu, saya dengan secara terbuka mengambil tanggungjawab penuh pada Jun 2015 bagi salah faham mengenai perkara ini," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Arul Kanda Kandasamy , 1MDB , Sarawak Report

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan