Mufti Pahang Persoal Tengku Zulpuri Panjangkan Isu Khutbah

Diterbitkan: Jumaat, 9 Oktober 2015 2:30 PM

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman mempersoalkan tindakan pengerusi DAP negeri, Tengku Zulpuri Shah Puji yang masih mahu memanjangkan isu khutbah Aidiladha yang didakwa memfitnah parti itu.

Beliau berkata, khutbah merupakan satu nasihat kepada umat Islam mengenai perjuangan agama supaya umatnya bersatu-padu.

“Kenapa hendak dipanjangkan? Kalau semua (khutbah) dipersoalkan, rosaklah agama dan kita akhirnya akan lebih hormat kepada orang bukan Islam.

“Macam Tengku (Zulpuri), dia hendak perjuangkan apa? Dia hendak pertahankan DAP ke agama Islam? DAP itu parti bukan Islam. Kalau pertahankan Islam, jadi janganlah pertikaikan Islam,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai permintaan DAP Pahang untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Mufti Pahang bagi membincangkan isu khutbah yang didakwa memfitnah parti itu secara berhemah.

Sehubungan itu, Abdul Rahman menasihatkan Tengku Zulpuri supaya tidak memanjangkan isu khutbah berkenaan kerana banyak lagi perkara yang lebih penting untuk diperbincangkan.

“Kita mahu semua umat Islam bersatu. Perjuangan kita apa? Kita sesama Islam, sepatutnya bila kita menasihatkan, sepatutnya orang yang menerima itu berdoa kepada kita dan berterima kasih.

“Saya rasa tak perlu nak memberatkan keadaan. Selesailah, habis setakat di sini sahaja,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zulpuri berkata, pihaknya telah menghantar surat permohonan bagi mengadakan perbincangan itu kepada Jabatan Mufti Pahang pada Selasa lalu.

“Setakat ini, masih belum ada respons daripada mereka mengenai pertemuan ini. Kita akan tunggu dahulu. Biar mereka putuskan dan maklumkan kepada kita.

“Saya ingin perjelaskan bahawa isu khutbah ini akan dilakukan secara perbincangan berhemah. Kita bukan mahu mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Tengku Zulpuri yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab itu sebelum ini dilaporkan memberi masa lima hari untuk Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun pada Jumaat minggu lalu, DAP Pahang membuat pusingan U apabila mengambil keputusan untuk mengadakan perbincangan dengan jabatan mufti negeri berhubung isu khutbah. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan