Kaedah Pengukuran Partikel Jerebu PM2.5 Lebih Tepat

Diterbitkan: Khamis, 8 Oktober 2015 5:40 PM

Hujan turun membasahi sekitar masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam yang diselubungi jerebu tebal pada Rabu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyegerakan penggunaan kaedah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dapat mengukur zarah pada 2.5 mikron atau PM2.5, kata beberapa pakar alam sekitar tempatan.

Menurut mereka, Malaysia amat memerlukan kaedah pengukuran jirim pencemaran yang lebih halus bagi menggambarkan situasi sebenar dan lebih terperinci, memandangkan jerebu melanda negara ini setiap tahun.

Pendedahan berterusan kepada partikel halus jerebu boleh membawa kepada isu-isu kesihatan yang serius dalam jangka masa panjang.

Pakar kesihatan, Datuk Dr N.K.S. Tharmaseelan baru-baru ini dipetik sebagai berkata bahawa pendedahan berterusan kepada jerebu akan membawa kepada masalah pernafasan kronik, terutamanya bagi paru-paru kanak-kanak yang lebih lemah kepada habuk halus.

Pada masa ini, Stesen Pengawasan Kualiti Udara Malaysia membaca dan mengukur habuk halus yang kurang daripada 10 mikron (PM10), berbanding Singapura yang menggunakan bacaan pengukuran zarah PM2.5 sejak 2014.

Ini menyebabkan terdapat perbezaan ketara bagi bacaan IPU di Singapura dan Johor, sekali gus menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai, sehinggakan terdapat sesetengah pihak menuduh Malaysia memanipulasi bacaannya.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri dilaporkan berkata bahawa kementeriannya sedang berusaha agar kesemua 52 stesen pemantauan di negara ini dapat menggunakan pengukuran PM2.5 dalam tempoh dua tahun lagi dan perkara itu diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020).

Menurut beliau, Malaysia akan mengambil masa yang lama untuk melaksanakan sepenuhnya di seluruh negara, berbanding Singapura kerana republik itu lebih kecil dan memerlukan jumlah stesen pemantauan yang sedikit.

Mempertahankan sistem pengukuran semasa yang digunakan oleh Malaysia, beliau menegaskan bahawa kiraan IPU di negara ini dibuat berdasarkan standard protokol antarabangsa iaitu mengikut Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA).

SUKATAN PM2.5 PENTING

Setakat ini, sebanyak 12 Stesen Pengawasan Kualiti Udara yang mampu mencerap bacaan PM2.5 dibangunkan di beberapa kawasan di seluruh negara, antaranya di Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Kuala Terengganu, Tanah Merah, Langkawi, Ipoh, Kuching dan Pulau Pinang.

Membincangkan hal itu, Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Ku Halim Ku Hamid yang berharap penggunaan sukatan PM2.5 dilaksanakan segera, berkata partikel halus di bawah PM2.5 boleh membahayakan kesihatan apabila disedut dan masuk ke dalam sistem pernafasan.

Katanya jerebu - yang berpunca daripada kebakaran hutan dan aktiviti haram penerokaan tanah di kepulauan Indonesia iaitu di Sumatera dan Kalimantan - yang menyelubungi Malaysia dan negara-negara jiran di rantau ini terdiri daripada partikel halus dan ringan, yang mampu masuk jauh ke dalam paru-paru manusia lantas menyebabkan gangguan kesihatan.

"Apabila berlaku pembakaran, partikel yang mempunyai sifat lebih halus dan ringan akan terbang dibawa angin ke kawasan lain manakala partikel lebih berat dan kasar (yang tidak mudah disedut ke dalam paru-paru) pula cenderung untuk kekal di kawasan sumber pembakaran," katanya kepada Bernama.

Ku Halim berkata bukan sahaja partikel halus jerebu yang menjadi kebimbangan, sebaliknya kesan toksik berbahaya terutamanya kepada kesihatan manusia, lebih-lebih lagi jika bahan kimia digunakan untuk menyemarakkan aktiviti pembakaran.

Memandangkan kejadian jerebu berulang saban tahun, Malaysia amat memerlukan kaedah pengukuran jirim pencemaran lebih halus bagi menggambarkan situasi sebenar dan lebih terperinci.

"Saya pasti alat pengukuran itu (yang mengukur partikel PM2.5) sudah ada tetapi tidak digunakan secara meluas... sepatutnya kajian lebih mendalam dilakukan agar bacaan IPU yang diperoleh lebih tepat," tambahnya.

AMARAN AWAL

Menjelaskan sistem pengukuran PM2.5 yang digunakan oleh Singapura sebagai lebih relevan dan signifikan bagi tujuan pengawalan keadaan dan kesihatan, Ku Halim berkata: "Kalau bandingkan dengan kaedah yang digunakan Singapura, kita tertinggal di belakang... bacaan zarah yang lebih halus akan membolehkan amaran awal dikeluarkan agar orang ramai boleh mengambil langkah berjaga-jaga demi kesihatan mereka."

Mengakui akan keperluan segera untuk menggunakan sistem bacaan IPU lebih berkesan, pensyarah Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Mohd Talib Latif berkata orang ramai tidak seharusnya menyalahkan dan menekan kerajaan untuk segera menukar kaedah bacaan IPU.

"Mungkin ada kekangan untuk memasang teknologi itu secara meluas dengan cepat kerana ia melibatkan kos dan faktor lain.

"Singapura pun baru sahaja menggunakannya pada tahun lepas... dan saya difahamkan bahawa Thailand masih menggunakan bacaan PM10, iaitu kaedah yang sama digunakan di Malaysia," katanya.

Mohd Talib menjelaskan pada masa ini bacaan PM10 sudah memadai untuk menunjukkan paras kualiti udara termasuk paras tidak sihat.

"Secara puratanya, 60 peratus daripada zarah PM10 adalah terdiri daripada PM2.5... jadi kalau bacaan kualiti udara adalah 100, ini bermakna 60 peratus daripadanya adalah PM2.5.

"Yang penting, orang ramai perlu berhati-hati apabila bacaan tidak sihat dicatatkan kerana zarah halus terutamanya di bawah PM2.5 boleh masuk ke dalam pernafasan," tegas beliau.

MELINDUNGI BANGUNAN DARIPADA JEREBU

Sementara itu, setiap kali jerebu semakin teruk, orang ramai dinasihatkan untuk memakai topeng dan mengurangkan aktiviti luar. 

Namun, hakikatnya mereka tidak dapat mengelakkan daripada terkena kesan jerebu walaupun tidak keluar rumah kerana partikel jerebu yang terapung boleh masuk ke dalam rumah dan bangunan melalui sebarang bukaan atau rekahan.

Industri pembuatan - terutamanya yang melibatkan sektor semikonduktor, farmaseutikal, bioteknologi, peranti perubatan dan sains hayat - sangat terkesan daripada jerebu kerana mereka menggunakan 'bilik bersih', untuk operasi harian.

Bilik bersih adalah persekitaran yang terkawal dan mempunyai tahap pencemaran seperti debu, mikro bawaan udara, partikel aerosol dan wap kimia yang rendah.

Seorang penyelaras fasiliti di sebuah syarikat semikonduktor swasta, Mohammad Zulfakar Mahadi berkata meskipun 'bilik bersih' merupakan ruang tertutup, partikel-partikel boleh masuk melalui mereka yang keluar masuk ke bilik.

"Spesifikasi bilik bersih amat sensitif, di mana ia perlu sentiasa berada dalam keadaan di bawah 10,000 kiraan partikel bersaiz 0.5 mikrometer dalam masa seminit," jelasnya.

Dalam keadaan berjerebu, kata belia kemungkinan sejumlah besar pencemaran dan partikel boleh memasuki bangunan pejabat dan kompleks membeli-belah kerana penggunan pintu gelangsar automatik yang mempunyai saiz bukaan yang luas.

"Pintu manual yang biasa adalah lebih baik kerana ia tidak perlu dibuka seluas-luasnya," katanya.

Mohammad Zulfakar turut mencadangkan supaya memaksimumkan kelajuan angin penyaman udara bagi menghasilkan kitaran udara lebih baik bagi sesuatu ruang atau bilik yang tertutup.

"Apabila kelajuan angin di dalam sesuatu bilik itu kuat, lebihan angin akan tertendang keluar apabila pintu apabila dibuka... sekali gus menyukarkan partikel dari luar untuk masuk ke bilik berkenaan," jelasnya.

Menurutnya memaksimumkan kelajuan angin penyaman udara boleh menjadikan peredaran udara yang lebih baik di kawasan yang tertutup.

"Adalah penting juga untuk sentiasa memastikan bahawa penapis penyaman udara sentiasa bagi membolehkannya memproses penapisan partikel-partikel habuk dengan lebih baik," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: IPU , jerebu , partikel , Tharmaseelan

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan