TH Tidak Bercadang Hadkan Umur Jemaah Haji

Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2015 1:20 PM

Abdul Azeez melawat keluarga jemaah Malaysia yang meninggal dunia di Makkah, Allahyarham Ismail Salam di Bukit Gedung, Rabu.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Tabung Haji (TH) tidak bercadang mengehadkan umur jemaah haji hanya kerana mahu mengelakkan berlakunya kematian di Makkah, kata Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata, pihaknya akan mengikut sistem sedia ada dan mana-mana jemaah, tidak mengira umur, yang berjaya melepasi pemeriksaan kesihatan serta mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh TH layak untuk mengerjakan ibadah haji.

"Kalau awak tanya saya semua orang nak (mengerjakan ibadah haji) umur-umur itu, sebab masa itu dia mampu pun. Bila tiba masa cukup duit umur mereka dah 60 tahun, mana boleh kita tak benarkan.

"Tabung Haji akan buat yang terbaik dalam konteks kesihatan. Kita ada pasukan perubatan yang baik yang akan cuba sedaya mungkin untuk menjaga semua jemaah kita daripada sudut kesihatan. Selain daripada itu kita berserahlah kepada Allah. Ada yang umur 50 tahun, 45 tahun meninggal dunia juga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Ismail Abdul Salam yang meninggal dunia di Makkah, di kediamannya di Bukit Gedung di sini, Rabu.

Allahyarham Mohd Ismail, 66, yang menunaikan haji bersama isterinya Fatimah Beevi Mohamed Sultan, 60, meninggal dunia akibat radang paru-paru (pneumonia) di Hospital King Faizal Makkah, pada 5 Oktober lepas. Fatimah Beevi dijangka pulang ke tanah air pada Jumaat ini.

Abdul Azeez berkata sebanyak 33 kematian melibatkan jemaah haji Malaysia untuk musim haji ini dengan tujuh kematian disebabkan tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, insiden rempuhan di Mina (satu kematian) dan 25 kematian disebabkan sakit biasa.

Katanya kematian disebabkan sakit biasa itu membabitkan jemaah yang telah berusia.

"Jika diikutkan tahun-tahun yang lalu (jumlah kematian jemaah haji) lebih kurang sama. Lazimnya kematian berlaku selepas hari wukuf, selepas selesai melontar, selesaikan tawaf haji, disebabkan virus dan sebagainya," jelas beliau.

Beliau berkata penerbangan terakhir jemaah haji ke tanah air pada 28 Oktober ini.

Sementara itu, anak bongsu Allahyarham Mohd Ismail, Siti Aminah, 24, berkata ini merupakan ibadah haji pertama Allahyarham dan ayahnya turut tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum berangkat ke tanah suci.

"Kali terakhir bercakap dengan Allahyarham pada Hari Raya Aidiladha. Kami terima dan redha dengan ketentuan Allah. Sedih memanglah sedih, semua orang kalau boleh nak cium mak ayah dia...tapi tidak mengapalah. Saya doa yang terbaik untuk bapa," katanya. -- Bernama



Tags / Kata Kunci: TH , jemaah , Abdul Azeez Abdul Rahim

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan