MPSJ Tawar RM1 Untuk Sekilogram Sisa Makanan

Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2015 10:58 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dalam usaha menjayakan lebih banyak bandar hijau, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif serampang dua mata dengan menawarkan RM1 untuk setiap satu kilogram sisa makanan yang diserahkan ke kaunter disediakan di Bandar Bukit Puchong bermula awal bulan ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata Program Pengasingan Sisa Makanan itu merupakan usaha MPSJ mengurangkan sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Melalui program itu katanya sisa makanan yang diserahkan akan diproses dan ditukar kepada tenaga elektrik melalui proses "Biogas Anaerobic Digestion".

"Selain itu sisa makanan juga akan diproses menjadi baja melalui proses 'Vermicomposting' dan inisiatif ini diambil MPSJ dalam menuju objektif perbandaran hijau," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Rabu.

Muhammad Azli berkata sekurang-sekurangnya 500 kg sisa makanan diperlukan bagi menghasilkan 5 kilowatt (kw) elektrik.

Katanya program itu merupakan fasa kedua yang dilancarkan MPSJ untuk Taman Perumahan Bandar Bukit Puchong satu, dua dan tiga selepas fasa pertama di Taman Seri Serdang mendapat sambutan sebelum ini.

Muhammad Azli berkata sebanyak 129 tong pengasingan sisa makanan telah diedarkan secara percuma dan setakat dua hari program itu dijalankan, sebanyak 235 kg sisa makanan telah dikumpul.

Beliau menyeru orang ramai dan peniaga menghantar sisa makanan ke pusat pengumpulan yang dibuka setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi, bagi tempoh yang belum ditetapkan.

Orang ramai juga diingatkan untuk mengasingkan sisa makanan daripada sisa pepejal dan sisa makanan yang tidak mudah hancur untuk menerima bayaran yang ditawarkan.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Kelestarian Persekitaran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff berkata, kos untuk menukarkan sisa makanan kepada tenaga elektrik lebih tinggi dan sukar berbanding baja, namun ia lebih menguntungkan jika dapat diaplikasi dengan baik.

"Masalah kekurangan tapak pelupusan perlu dipandang berat dan inisiatif ini patut dicontohi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain dalam memelihara kelestarian alam sekitar," katanya.

Menurut Abdull Rahim, selain selari dengan pelaksanaan pengasingan sisa pepejal yang bermula 1 Sept lalu, inisiatif itu, jika dikaji dengan lebih mendalam dipercayai mampu menyelesaikan isu pelupusan sisa industri dengan lebih berkesan.

Mengulas tentang ganjaran RM1 yang ditawarkan MPSJ bagi menggalakkan penyertaan, beliau berkata ia adalah usaha permulaan yang baik dalam mendidik masyarakat ke arah melupuskan sampah dengan betul.

"Kalau di Jepun, rakyatnya perlu bayar jika mahu menghapuskan barangan elektrik menyebabkan sistem pelupusan sampah mereka cemerlang, sikap masyarakat kita berbeza jadi cara pendekatan juga mungkin berbeza," katanya.
Tags / Kata Kunci: MPSJ , sisa makanan , bandar hijau

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan