Amanah Dakwa Raja-Raja Melayu Beri Isyarat Supaya Najib Berundur

Diterbitkan: Rabu, 7 Oktober 2015 7:00 PM

Salahuddin Ayub

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa teguran Majlis Raja-Raja Melayu supaya kerajaan segera menyelesaikan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai isyarat pihak istana supaya Datuk Seri Najib Tun Razak berundur.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menganggap, tindakan Raja-Raja Melayu itu kerana perdana menteri masih gagal membuktikan ketelusan dan keyakinan semua pihak berkaitan isu 1MDB.

"Boleh diterjemahkan, lenggok bahasa, keluhuran budi, adat dan budaya bangsa Melayu dari kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tersebut bertujuan menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak berundur sebagai Perdana Menteri kerana gagal menyelesaikan isu 1MDB dengan segera dan turut menjejaskan ekonomi negara," katanya menerusi kenyataan di sini, Rabu.

Salahuddin berkata, teguran itu juga memastikan pentadbiran Putrajaya menumpukan pembangunan negara, dalam masa yang sama memulihkan kembali ekonomi negara berikutan kejatuhan nilai mata wang.

Katanya, banyak pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung isu 1MDB ini termasuk masyarakat kampung, ahli Umno dan terkini, pegawai-pegawai tinggi kerajaan seperti Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan bekas  Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Susulan pra mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada Selasa, Penyimpan Mohor Raja-Raja Melayu, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengeluarkan kenyataan meminta supaya kerajaan segera menyelesaikan isu berkaitan 1MDB.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah, Muhamad Fadzil Ahamad berkata, sayap itu berpendirian bahawa siasatan tidak memadai selagi Najib mengisi jawatan selaku pengerusi lembagai penasihat 1MDB.




iklan

Kolumnis

iklan

Iklan