Jakim Tetapkan Tarikh Baharu UPKK Pada 12, 13 Oktober

Diterbitkan: Selasa, 6 Oktober 2015 3:42 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tarikh baharu bagi pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) ditetapkan pada 12 dan 13 Oktober ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata, UPKK berkenaan membabitkan sejumlah 207,343 calon yang akan menduduki ujian bagi tiga subjek.

"Bagi subjek Ulum Syariah (UPKK 02/01), ia akan diadakan pada Isnin, 12 Oktober ini iaitu pada 2.30 hingga 4 petang manakala subjek Sirah (UPKK 03/01) serta Jawi dan Khat (UPKK 05/01) akan diadakan pada Selasa, 13 Oktober iaitu masing-masing pada 2.15 hingga 3.45 petang dan 4.15 hingga 5.45 petang," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Semua agensi bertanggungjawab melaksanakan Kafa diminta mengambil tindakan segera bagi memastikan peperiksaan UPKK bagi tiga subjek itu dapat dilaksanakan mengikut tarikh baharu yang ditetapkan.

UPKK yang sebelum ditetapkan berlangsung semalam dan hari ini ditangguhkan ekoran pengumuman penutupan semua sekolah di Semenanjung kecuali Kelantan pada tarikh berkenaan oleh Kementerian Pendidikan berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Kafa , UPKK , Jakim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan