Tiga Beradik Warga Emas Habiskan Sisa Kehidupan Di Rumah Usang

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2015 4:22 PM

Mohamed Kassim dan dua adiknya Zainab serta Zulkifli (tengah) tinggal di sebuah rumah usang di Kampung Jalan Lumpur yang hanya dilengkapi sebuah bilik selepas kematian ibu bapa mereka 20 tahun lepas. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Walaupun menjalani kehidupan seharian dalam serba kekurangan, tiga beradik warga emas lebih rela menempuh baki perjalanan hidup mereka bersama-sama daripada dipisahkan antara satu sama lain.

Mohamed Kassim, 78 dan dua adiknya, Zainab, 69, serta Zulkifli, 61, tinggal di sebuah rumah usang di Kampung Jalan Lumpur, di sini yang hanya dilengkapi sebuah bilik selepas kematian ibu bapa mereka 20 tahun lepas.

"Disebabkan kami bertiga tidak berkahwin, jadi kami mengambil keputusan untuk tinggal bersama walaupun hidup dalam kesusahan. Biar kami pikul kesusahan ini bersama-sama daripada menyusahkan orang lain...lagipun adik-beradik lain juga tidak berkemampuan," katanya.

Walaupun Mohamed yang lebih mesra dengan panggilan "Pak Long" mempunyai dua lagi adik di Anak Bukit dan Pulau Pinang, dia tidak mahu menganggu mereka yang kini tinggal bersama anak-anak mereka.

Mohamed yang sentiasa tersenyum berkata mereka bertiga telah bertekad untuk hidup bersama dan tidak rela berpisah antara satu sama lain, walaupun kehidupan dikelilingi dengan pelbagai kesusahan.

Keperitan hidup mereka tiga beradik itu ditambah dengan keadaan kesihatan Zainab dan Zulkifli yang menghidapi pelbagai penyakit kronik dan memerlukan rawatan di hospital.

Zainab menghidapi penyakit lelah kronik, darah tinggi, kencing manis dan masalah pendengaran sejak berumur 10 tahun, manakala Zulkifli juga menghidap penyakit lelah kronik dan kerap dimasukkan ke hospital, katanya.

"Saya masih mampu menjaga mereka walaupun sudah tua. Tugas-tugas membeli bekalan makanan dan keperluan harian mereka tidak pernah dianggap sebagai bebanan walaupun saya terpaksa berjalan jauh untuk ke kedai," katanya.

Keperitan hidup mereka bertiga ditambah dengan keadaan rumah mereka berteduh yang bukan sahaja sudah usang dan menanti roboh tetapi juga dikelilingi dengan semak-samun dan rumah-rumah kosong.

Rumah usang ini masih didiami tiga beradik.

"Kami sentiasa berada di dalam keadaan kebimbangan, kerana jika berlaku sesuatu, sudah tentu kami tidak mampu mempertahankan diri," katanya menambah, mereka juga dikelilingi oleh rumah-rumah didiami warga asing.

Bahagian dalam rumah kata Mohamed, basah setiap kali hujan lebat kerana atap-atap yang bocor selain berhabuk disebabkan terletak berhampiran dengan jejantas yang sentiasa sibuk dengan kenderaan.

Setiap kali cuaca panas menurutnya, habuk-habuk berterbangan memasuki bahagian dalam rumah menyebabkan mereka bertiga sukar untuk bernafas, selain memburukkan lagi kesihatan Zainab dan Zulkifli yang menghidapi lelah.

Sementara itu Zulkifli berkata, beliau pernah berniaga kecil-kecil untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga tetapi terpaksa berhenti disebabkan faktor kesihatannya yang semakin buruk.

Kini mereka tiga beradik katanya, bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi ia tidak mencukupi kerana digunakan untuk bayaran sewa rumah, bil elektrik dan air serta barang keperluan lain.

"Selain itu, duit itu juga digunakan untuk menampung perbelanjaan rawatan kesihatan. Ia tidak mencukupi," katanya dan berharap ada pihak tampil untuk membantu mereka mendapatkannya rumah yang lebih baik.

Timbalan Pengerusi Kindness Malaysia Mohd Azrul Mohd Razak berkata pihak Kindness telah memberikan bantuan barang keperluan kepada tiga beradik itu sejak enam tahun lepas bagi meringankan bebanan yang mereka tanggung.

Tags / Kata Kunci: rumah usang , tiga-beradik , warga emas

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan