Insurans Agro Untuk Pengusaha Sektor Pertanian

Diterbitkan: Isnin, 5 Oktober 2015 5:00 PM

Ahmad Shabery Cheek

Ahmad Shabery Cheek.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang memperkenal insurans agro bagi melindungi pengusaha ternakan dan tanaman yang kerugian akibat hasil keluaran musnah dalam bencana alam atau wabak penyakit.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata insurans agro di bawah Agrobank meliputi perlindungan terhadap pengeluaran makanan, tanaman, akuakultur dan pembiakan udang.

"Bagi memastikan industri dan sektor pertanian tidak pupus dan rakyat tidak hilang minat ekoran risiko tinggi yang ditanggung pengusaha, Agrobank menyarankan kementerian supaya memperkenal insurans agro.

"Sebelum ini, kerajaan beri perlindungan insurans kepada nelayan... kita akan kembangkan ini kepada sektor pertanian pula," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bersama-sama exco pertanian negeri siri kedua tahun ini di sini, Isnin.

Seramai lapan Exco Pertanian Negeri dan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah (MAFI) Datuk Seri Yahya Hussin menyertai mesyuarat itu.

Ahmad Shabery berkata Agrobank juga diminta meneliti pelaksanaan insurans agro itu supaya pengusaha pertanian tidak dibebani dengan kos premium.

Sementara itu, beliau meminta semua projek kementerian termasuk projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan di seluruh negara, dipantau menerusi sistem 'star rating' untuk melihat sama ada ia berjaya atau tidak. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: insurans agro , Ahmad Shabery Cheek

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan