Malaysia Digesa Guna Kuasa Tamatkan Sengsara Palestin

Diterbitkan: Ahad, 4 Oktober 2015 10:21 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia digesa supaya menggunakan kuasa politiknya sebagai anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pengerusi Asean untuk membantu menamatkan pencerobohan Israel ke atas Palestin.

Aktivis dan perunding perubatan Norway, Dr Mads Gilberts yang empat kali berkhidmat di Gaza berkata, Malaysia sepatutnya menggunakan sepenuhnya kedudukannya menerusi saluran politik global dan memberi tekanan terhadap Israel.

"Malaysia ada kuasa politik dan ia perlu dibuktikan dengan tindakan. Saya dengar dengan teliti ucapan Perdana Menteri pada PBB baru-baru ini di mana perkara penting berkaitan Palestin dinyatakan.

"Tetapi kami tidak perlukan kata-kata, kami perlukan tindakan," katanya pada sidang media, Sabtu.

Dr Gilberts menggambarkan Gaza adalah kemusnahan angkara manusia yang memberi kesan kepada 1.8 juta termasuk 60 peratus daripadanya di kalangan kanak-kanak dan remaja yang kini berdepan masalah kekurangan zat, pendidikan dan kemudahan infrastruktur selepas kediaman mereka dibom.

"Saya merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan dan Asean untuk melaksanakan sekatan serta boikot politik terhadap Israel sehingga negara itu menamatkan kepungan, mencari penyelesaian politik dan menamatkan pencerobohan Palestin," katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya sepanjang berkhidmat sebagai doktor perubatan di Gaza pada sesi taklimat di sini.

Dr Gilberts berkata, penamatan aparteid di Afrika Selatan, langkah boikot, pemberhentian pelaburan dan persetujuan bersama adalah langkah terbaik yang terbukti dapat menamatkan persengketaan di Palestin.




Tags / Kata Kunci: Malaysia , Palestin , Dr Mads Gilberts

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan