Triti Lima Negara Bagi Sebuah Tribunal Siasat MH17 Sedang Diusahakan

Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 12:00 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Malaysia mungkin menandatangani satu perjanjian dengan empat negara yang lain untuk menubuhkan sebuah tribunal bebas bagi mengadili orang yang bertanggungjawab menembak jatuh Penerbangan MH17 di timur Ukraine tahun lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata satu mesyuarat diadakan dalam kalangan pemimpin lima negara berkenaan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini bagi meneruskan perkara itu selepas Rusia menggunakan kuasa veto membantah resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk menubuhkan sebuah tribunal.

"Saya telah berjumpa Perdana Menteri Belanda bersama Presiden Ukraine, Perdana Menteri Belgium dan Timbalan Perdana Menteri Australia.

"Kita telah bincang langkah-langkah alternatif kerana kita telah berjanji kepada dunia, khususnya kepada keluarga mangsa bahawa kita akan mendapatkan keadilan," kata Perdana Menteri dalam persidangan akhbar pada penghujung lawatan kerjanya di New York.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudiannya ke Milan untuk meneruskan lawatan kerja di Itali.

Menurut Najib, meskipun usul mewujudkan tribunal di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu telah gagal kerana veto oleh Rusia, Malaysia tetap menganggapnya sebagai kemenangan moral kerana majoriti anggota Majlis Keselamatan PBB menyokong usul tersebut.

Hanya tiga berkecuali dan satu anggota menggunakan kuasa veto, katanya.

Majlis Keselamatan PBB terdiri daripada China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, sebagai anggota tetap dan 10 anggota tidak tetap bagi tempoh dua tahun.

Malaysia menjadi anggota tidak tetap sehingga tahun 2016.

"Ada dua kemungkinan. Satu melalui sistem mahkamah nasional. Satu lagi ialah dengan mengadakan perjanjian dalam kalangan lima negara bagi mewujudkan mahkamah kita sendiri yang bertanggungjawab mengenai perkara ini.

"Kesemua lima negara sebulat suara supaya kita meneruskan perkara itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan atas jenayah mereka yang keterlaluan ke atas mangsa MH17," kata Najib.

Kita juga sedang menunggu laporan teknikal yang akan dikeluarkan pada 13 Okt ini, katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun usaha mewujudkan tribunal di bawah PBB terhalang kerana kuasa veto, namun ia tidak bermakna hasrat untuk mendapatkan keadilan akan turut tersekat.

Ditanya mengenai pertemuan beliau dengan para pelabur dan ahli perniagaan Amerika Syarikat, Najib berkata mereka tetap yakin dengan iklim pelaburan di Malaysia walaupun wujud gambaran negatif digembar-gemburkan di dalam blog dan akhbar tertentu baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata lebih banyak usaha mendekati pelabur perlu diadakan bagi memberi gambaran sebenar terhadap potensi sebenar yang wujud di Malaysia.

"Mereka menyedari kestabilan di Malaysia dan pasti tentang dasar kita.

"Mereka juga gembira dengan kenyataan bahawa kita adalah kerajaan yang mesra perniagaan," kata Najib.

Mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), Najib berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed sedang berada di Atlanta untuk rundingan terakhir bagi memuktamadkan perjanjian tersebut.

Katanya selepas diteliti oleh Kabinet, rangka perjanjian tersebut akan dibawa ke Parlimen untuk mendapat kelulusan.

Tambahnya secara umum, pihak Amerika syarikat menerima hakikat kepentingan agenda Bumiputera serta hak-hak lain yang dipertahankan oleh Malaysia.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan