Pelabur Asing Berpeluang Raih Manfaat Besar Melabur Di Malaysia - Najib

Diterbitkan: Sabtu, 3 Oktober 2015 9:08 PM

(Ubah saiz teks)

MILAN: Pelabur asing berpeluang meraih manfaat yang amat besar melabur di Malaysia dengan menggunakan negara sebagai pintu masuk strategik bagi memanfaatkan potensi besar daripada penubuhan Komuniti Ekonomi Asean (AEC), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, pelabur asing perlu 'memikirkan Malaysia bukan sahaja sebagai destinasinya sendiri, tetapi juga pintu masuk ke Asean'.

Berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia di Expo Milano 2015, di sini, pada Sabtu, beliau berkata sebagai satu pasaran tunggal, Asean merupakan ekonomi ke-7 terbesar di dunia dengan pasaran pengguna berjumlah 625 juta penduduk dan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih AS$2 trilion.

Majlis anjuran Expo Milano itu juga dihadiri Menteri Alam Sekitar, Darat dan Laut Itali, Gian Luca Galletti.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz turut menghadiri majlis itu. 

Malaysia merupakan sebuah daripada 147 negara yang menyertai pameran terbesar dunia berlangsung selama enam bulan itu yang diadakan lima tahun sekali.

Ekspo tersebut yang bermula pada 1 Mei akan berakhir pada 30 Oktober.

Sementara itu Najib, yang juga Pengerusi Asean berkata:"Ekonomi-ekonomi Asean mencatatkan purata pertumbuhan tahunan lebih daripada lima peratus dan pendapatan per kapita pada purata AS$3,800, membawa kepada pengembangan kelas pertengahan dengan peningkatan pendapatan boleh guna. 

Beliau berkata, Asean sudahpun menjadi tumpuan bagi pelaburan langsung asing dan merupakan pemacu ekonomi sedang pesat membangun bagi ekonomi global hari ini.

"Tetapi dianggarkan sekiranya perdagangan antara Asean melonjak daripada 24 peratus kepada 40 peratus, kesan kenaikan itu ke atas ekonomi Asean boleh jadi kira-kira AS$2.5 trilion setahun – satu pengembangan yang benar-benar luar biasa," kata Najib yang berada di sini sempena lawatan kerja selama tiga hari bermula Jumaat.  

Beliau berkata, perkumpulan serantau itu bakal menubuhkan AEC pada akhir tahun ini. 

"Dan ia bertujuan untuk mewujudkan satu pasaran tunggal dan asas pengeluaran di Asean, dengan wawasan yang lebih besar bagi menyepadukan lagi ekonomi rantau ini yang saiz penduduknya, gabungan KDNK dan aspirasi yang dikongsi bersama akan mewujudkan satu entiti yang berupaya bersaing dengan ekonomi terbesar dunia," katanya.

Beliau berkata AEC, bersama rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas Asean dengan rakan dialog seperti China, India, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand, berfungsi sebagai insentif tokokan bagi perniagaan untuk melabur di Malaysia.

"Prospek pertumbuhan malahan menjadi lebih menarik apabila Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan kemungkinan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik kini semakin hampir dimuktamadkan. 

"Kedua-dua perjanjian ini akan mengukuhkan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran yang malahan lebih besar dan cergas," katanya yang mempunyai jadual padat pada Sabtu termasuk menghadiri persidangan meja bulat dengan ketua-ketua industri Itali.

Najib berkata, Malaysia menyambut baik hubungan rapat dengan Itali dan Kesatuan Eropah sama ada menerusi hubungan rakyat kepada rakyat atau dalam perdagangan dan pelaburan.

Terdahulu Perdana Menteri melawat pavilion Emiriah Arab Bersatu, Kazakhstan dan  Itali di ekspo tersebut dan akan melancarkan Festival Makanan Malaysia di Pavilion Malaysia malam Sabtu.

Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan