Saifuddin Kemuka Dua Surat Jawapan Kepada Umno

Diterbitkan: Jumaat, 2 Oktober 2015 11:26 PM

Saifuddin Abdullah.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah menghantar dua surat jawapan kepada Umno susulan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya kerana menghadiri sidang meja bulat pembentukan Pakatan Harapan.

Surat yang pertama adalah daripada peguam Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF) bagi meminta penjelasan berikutan surat tunjuk sebab itu dialamatkan di atas kapasiti Saifuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GMMF dan bukannya sebagai anggota Umno.

Surat peguam tersebut meminta penjelasan sekiranya surat tunjuk sebab ditujukan kepada anak guamnya atas kapasitinya sebagai CEO GMMF dan sekiranya benar, adakah ia bermaksud GMMF turut terlibat dalam hal itu.

Surat kedua adalah daripada Saifuddin sendiri. Menerusi surat berkenaan, beliau mengemukakan tiga penjelasan.

Penjelasan pertama adalah sekiranya surat tunjuk sebab itu dihantar kepada beliau sama ada sebagai CEO GMMF atau anggota Umno. 

Saifuddin juga ingin mengetahui sekiranya kes beliau telah dirujuk kepada Lembaga Disiplin Umno kerana surat itu dikeluarkan daripada ibu pejabat Umno dan bukannya Lembaga Disiplin.

"Surat tunjuk sebab itu tidak jelas. Bila ia menyatakan bahawa tindakan disiplin akan diambil, saya bertanyakan apakah kesalahan yang saya lakukan dan apakah seksyen Perlembagaan parti yang saya langgari seperti didakwa," katanya dalam satu temuramah.

Dua surat berkenaan dihantar kepada Ibu Pejabat Umno pada petang Jumaat.

Saifuddin berkata, walaupun beliau tidak menjangka menerima surat tunjuk sebab itu namun ia bukan sesuatu yang mengejutkan.

Dalam pada itu, Saifuddin menafikan kehadirannya pada sidang meja bulat itu bagi mengintip pihak pembangkang.

"Saya berada di sana untuk mencapai objektif lebih tinggi dalam politik. Saya percaya untuk bercakap kepada semua pihak," katanya.

Pada 22 September lalu, Saifuddin membuat kejutan apabila beliau menghadiri sidang meja bulat untuk pembetukan pakatan baharu bagi menggantikan Pakatan Rakyat tetapi menegaskan bahawa beliau berada di sana di atas kapasiti sebagai pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Akademi Belia.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar Saifuddin kerana cuba "menjejaskan imej" parti dan berkata, pemimpin Umno tidak sepatutnya menghadiri atau menyokong parti pembangkang mahupun agenda mereka.

Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan berkata, parti akan mengadakan siasatan berhubung perkara itu dan Saifuddin diberikan surat tunjuk sebab bertarikh 22 September lalu yang diterimanya pada 28 September lalu.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang turut menyentuh isu tersebut mengatakan Saifuddin "tidak wajar" menghadiri majlis berkenaan bagi membincangkan hala tuju politik pembangkang, sambil menambah bahawa tindakan berkenaan melanggar peraturan parti.

Bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas yang dipetik dalam sebuah portal berita sebagai berkata, Saifuddin tidak melakukan sebarang kesalahan dengan menghadiri sidang meja bulat pembentukan pakatan pembangkang baharu melainkan beliau bertindak mengkritik Umno.

Bagi naib presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya tindakan perlu diambil terhadap Saifuddin.

Beliau berkata, Megat Najmuddin perlu menjelaskan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno mengenai apakah sebab munasabah tindakan tidak perlu diambil ke atas timbalan menteri itu.

Pada 2008, ahli Umno, Datuk Zaid Ibrahim digugurkan dari parti selepas beliau menghadiri sebuah majlis DAP dan Kongres Kebangsaan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tags / Kata Kunci: Saifuddin Abdullah , Umno

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan