TPM Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Yuen

Diterbitkan: Jumaat, 2 Oktober 2015 4:11 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Tan Sri Yuen Yuet Leng di Xiao En Centre, Cheras pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri disambut bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen dan anggota keluarga Yuen sebaik tiba di pusat tersebut pukul 2 petang.

Ahmad Zahid kemudian bertafakur seminit berhampiran mayat Yuen yang diletakkan dalam keranda putih dan kemudian menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga mendiang.

Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut berada di pusat itu turut berbual-bual dengan Timbalan Perdana Menteri dan anggota keluarga Yuen.

Yuen yang juga bekas ketua polis Perak meninggal dunia di kediaman anak perempuannya di The Mines, Seri Kembangan pada kira-kira 6 pagi berikutan masalah jantung pada usia 88 tahun.

Mendiang terkenal dengan jasanya sebagai salah seorang perunding utama Rundingan Damai Hatyai, dan bersama dengan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor ke China bertemu pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, Abdullah C.D dan Rashid Maidin.

Malah beliau juga pernah cedera ditembak di dada dalam pertempuran dengan pengganas komunis di Grik pada 1951 tatkala China Peng setiausaha agung PKM.

Yuen meninggalkan isteri Puan Sri Chan Choy May, 68, dua anak perempuan Susan Yuen Sumin, 56, dan Marina Chan Chean Gaik, 54, dan dua cucu berusia 20-an.

Mayat mendiang ditempatkan di Xiao En Centre, Cheras sehingga Sabtu ini bagi membolehkan anggota keluarga dan sahabat-handai memberi penghormatan terakhir.

Tags / Kata Kunci: PKM , Komunis , Sarawak , Polis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan