Pembesar Suara: Pejabat SUK P.Pinang Siasat Pihak Bocor Surat Rasmi

Diterbitkan: Khamis, 1 Oktober 2015 10:08 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang memandang serius kebocoran surat rasmi kerajaan berhubung keputusan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau, kecuali untuk azan dan iqamah, yang akan diwartakan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sedang menjalankan siasatan bagi mencari pihak yang membocorkan surat itu sebelum mengambil tindakan tegas.

"Tindakan pihak yang membocorkan surat itu adalah berniat jahat dan cuba menimbulkan suasana huru-hara. Saya rasa perkara ini bukanlah sesuatu yang besar untuk dibangkitkan. Ini baru satu keputusan dan perlu melalui banyak lagi proses sebelum ia difatwakan," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Pada Rabu, perkara itu dinyatakan melalui surat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 September lepas berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 23 dan 24 Ogos lepas.

Surat yang memetik cabutan minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang itu menyebut bahawa mesyuarat bersetuju agar Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011 mengenai larangan membaca Al-Quran sebelum Subuh dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau perlu ditambah baik dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi semua program seperti qiamulail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya.

Abdul Malik berkata, keputusan Jawatankuasa Fatwa itu telah dimaklumkan kepadanya dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sebagai jabatan yang bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya. 

Beliau berkata, keputusan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ia diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk mendapat perkenan baginda. 

Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Mohd Noor yang turut hadir pada sidang media itu berkata, pihaknya sedia mengadakan perbincangan dan dialog dengan semua jawatankuasa qariah masjid berhubung cadangan mengehadkan penggunaan pembesar suara untuk laungan azan dan iqamah sahaja.

"Selain itu orang ramai yang mempunyai cadangan atau penambahbaikan mengenai fatwa berkenaan boleh menghubungi Jabatan Mufti Pulau Pinang untuk menyalurkan maklumat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Malik berkata, kerajaan negeri sedang mengumpul nama calon bagi jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) untuk dibentangkan dalam mesyuarat Exco sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, jawatan itu yang disandang oleh Datuk Mohd Salleh Man akan tamat pada 31 Disember ini dan akan diisi selepas mendapat perkenan baginda.

Pelantikan Yang Dipertua MAIPP untuk tempoh dua tahun setiap penggal ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas cadangan calon dikemukakan kerajaan negeri.

Tags / Kata Kunci: masjid , pembesar suara

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan