Moot Court Maca Abadikan Nama Kevin Morais

Diterbitkan: Khamis, 1 Oktober 2015 5:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Moot Court Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di Jalan Duta di sini kini secara rasminya dikenali sebagai Kevin Morais Moot Court.

Lebih bermakna majlis perasmiaannya diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-48 Badan Pencegah Rasuah (BPR)/Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Oktober.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, keputusan tersebut dibuat sebagai menghargai sumbangan Timbalan Pendakwa Raya yang berkhidmat selama 10 tahun bersama suruhanjaya itu.

Beliau berkata, Morais mula berkhidmat bersama SPRM pada 2004 sebelum ditukarkan ke Jabatan Peguam Negara pada Julai 2014.

"Sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mendiang lebih satu dekad menegakkan keluhuran undang-undang negara dan reputasi SPRM, kami memutuskan untuk mengabadikan nama mendiang pada Moot Court Maca.

"Mulai hari ini, Moot Court Maca akan dikenali sebagai Kevin Morais Moot Court. Legasi dan jasa mendiang akan terus dikenang dan dipahat di SPRM," katanya pada majlis perasmiannya di sini, Khamis.

Turut hadir, pegawai kanan Jabatan Peguam Negara dan keluarga mendiang.

Moot Court atau mahkamah olok-olok di Maca dikendalikan Kluster Perundangan dan Pendakwaan dalam menyediakan program latihan berkaitan dengan perundangan dan pendakwaan kepada pegawai SPRM yang mengikuti latihan asas siasatan dan perundangan.

Sementara itu, abang Morais, Charles Suresh mengucapkan setinggi penghargaan kepada SPRM di atas penghormatan yang diberikan kepada adiknya itu.

"Terima kasih kepada SPRM kerana menamakan Moot Court ini sempena nama adik saya. Saya berharap agar keadilan terhadapnya dapat ditegakkan," katanya.



Tags / Kata Kunci: Kevin Morais , SPRM , Moot Court Maca

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan