Bertongkat Tak Halang Abu Kassim Hadiri Majlis Kenang Jasa Kevin Morais

Diterbitkan: Khamis, 1 Oktober 2015 6:38 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed membuat penampilan pertama di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di sini Khamis selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.

Beliau hadir bagi merasmikan Kevin Morais Moot Court di Maca sempena sambutan Ulang Tahun Ke-48 Badan Pencegah Rasuah dan SPRM pada 1 Oktober.

Abu Kassim yang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan dilihat tidak bertenaga dan hanya berucap tidak sampai 10 minit pada majlis tersebut.

Difahamkan beliau masih belum sihat sepenuhnya.

"Saya telah menyediakan teks ucapan lebih kurang dalam 14 muka surat tapi tak berupaya nak habiskan baca. Jadi, saya akan minta Datuk Shukri menghabiskan teks ucapan ini.

"Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan bahawa kenyataan yang akan diberi ini merupakan suara 2,900 pegawai SPRM untuk menyampaikan hasrat dan isi hati kami.

"Saya ingin sampaikan sedikit sahaja. Kepada Tuan Kevin, apa yang beliau telah lakukan dan pengorbanan yang beliau telah tunjukkan dalam usaha perangi rasuah adalah satu contoh luar biasa," katanya sambil berhenti berucap dan meminta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull untuk membaca teks ucapan beliau.

Sementara itu, Mohd Shukri tidak dapat menahan sebak apabila membaca teks ucapan tersebut yang rata-ratanya menyentuh mengenai sumbangan Morais kepada suruhanjaya tersebut.

Suara Mohd Shukri tersekat-sekat semasa di hujung ucapannya.

Malah, pegawai SPRM, pegawai kanan Jabatan Peguam Negara dan keluarga mendiang yang hadir turut kelihatan menitiskan air mata ketika tayangan montaj mengenai Morais.

Tayangan montaj selama 10 minit itu memaparkan gambar Morais semasa hayatnya bertugas bersama SPRM.


Tags / Kata Kunci: SPRM , Abu Kassim Mohamed , Kevin Morais

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan