"Percaya Kepada Masa Depan Malaysia," Kata PM Kepada Pelajar Malaysia Di AS

Diterbitkan: Selasa, 29 September 2015 7:31 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak bersama kira-kira 200 pelajar dan diaspora rakyat Malaysia yang berhimpun di pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu, yang terletak di tengah bandar Manhattan.

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin (Selasa di Malaysia) menggesa pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Amerika Syarikat supaya percaya dan yakin dengan masa depan negara.

"Saya mahu anda percaya dengan masa depan Malaysia, katanya," kepada kira-kira 200 pelajar dan diaspora rakyat Malaysia yang berhimpun di pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu, yang terletak di tengah bandar Manhattan.

Sebelum itu, perdana menteri menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Para Pemimpin mengenai Pasukan Pengaman di ibu pejabat PBB yang terletak berdekatan.

Najib memberitahu para pelajar bahawa mereka perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran bagi merebut pelbagai peluang yang diwujudkan di tanah air.

Perdana Menteri juga meminta para pelajar supaya tidak terpengaruh dengan apa yang dilaporkan di dalam blog atau portal berita terutama yang berdasarkan khabar angin atau dakwaan tidak berasas.

Najib berkata beliau komited untuk memastikan urus tadbir yang baik diteruskan di Malaysia dan kerajaan akan terus mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat.

"Kita telah mengalami banyak perubahan. Dalam soal menjadi sebuah negara Islam, kita tersenarai sebagai negara yang paling berjaya. Bloomberg telah menyenaraikan Malaysia sebagai pasaran baharu muncul kelima terbaik di dunia.

"Beberapa hari lepas, saya bertemu dengan Fitch (Ratings). Di sebalik keadaan ekonomi pada masa ini, mereka percaya bahawa kita berada di landasan yang betul terutama sekali selepas kita begitu berani melaksanakan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan rasionalisasi subsidi," katanya.

Najib berkata kerajaan akan berusaha keras untuk memperkukuhkan daya tahan ekonomi Malaysia.

Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sebagai sebuah negara, kekuatannya adalah untuk sentiasa bersatu. 

"Jika kita bersatu kita akan menjadi lebih kuat berbanding jika kita berpecah belah," katanya sambil menambah kejayaan Malaysia akan menjadi satu perkara yang menggembirakan beliau.

Perdana menteri berkata kerajaan sentiasa terbuka kepada kritikan.

"Anda boleh tidak bersetuju dengan kerajaan. Anda boleh memprotes terhadap kerajaan namun perlu mematuhi undang-undang," katanya.

Najib juga menceritakan pengalamannya bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama apabila beberapa buah negeri di Malaysia dilanda banjir akhir tahun lepas.

"Saya kini mempunyai rekod sebagai satu-satunya Perdana Menteri yang bermain golf dengan Obama. Tetapi, malangnya, waktunya tidak kena.

"Jadi, saya tidak mendapat sebarang dividen politik.

"Saya lakukannya kerana saya berpendapat ia merupakan satu langkah positif untuk membina hubungan peribadi dengan Presiden Amerika Syarikat dan saya lakukannya untuk Malaysia. Saya tidak lakukannya untuk kepentingan sendiri," katanya.


Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar dan Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan