Nazri Aziz Akui Silap, Tiada Niat Campur Tangan

Diterbitkan: Selasa, 29 September 2015 3:44 PM

MOHAMED NAZRI Aziz ketika menjelaskan kenyataannya pada sidang media di lobi Parlimen pada Khamis lalu.

Nazri Abdul Aziz.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata beliau tiada niat untuk campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Wisma Putra selepas Duta China ke Malaysia dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya semasa berkunjung ke Petaling Street baru-baru ini.

Mengakui kesilapannya, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata beliau memberitahu Dr Huang Huikang supaya tidak bimbang kerana ia adalah amalan biasa Menteri Luar untuk memanggil mana-mana duta dan bukannya Timbalan Menteri.

"Amalan biasa dalam Kabinet apabila seorang menteri yang tiada dalam negara, hanya menteri lain boleh bertindak bagi pihaknya, bukan timbalan menterinya," kata Nazri menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada The Star Online dari Turki pada Selasa.

Nazri berkata berikutan itu beliau beranggapan Kementerian Luar tidak membuat keputusan untuk memanggil Dr Huang kerana Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu.

"Saya fikir menteri luar kita akan memanggil duta tersebut sendiri apabila beliau kembali pulang kerana ia dibawah bidang kuasanya, bukan tugas timbalannya.

"Jelas sekali, saya tersilap dan tidak tahu bahawa menteri luar telah memberi arahan kepada timbalannya," kata beliau.

Nazri dilaporkan mendakwa Reezal Merican Naina Merican tidak mengikut protokol apabila memanggil Dr Huang.

Kenyataan tersebut menyebabkan Anifah melahirkan rasa dukacita kerana beberapa menteri Kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.

Jelas Anifah, perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri-menteri lain.

Nazri berkata sepanjang memegang jawatan menteri selama 16 tahun, kesimpulan yang diperolehinya adalah hanya seorang menteri yang boleh bertindak mewakili Wisma Putra, satu protokol yang ketat.

"Sudah tentu sekarang semuanya berubah dan saya tidak sedar tetapi satu perkara yang saya yakin, saya menteri yang berpengalaman dan tiada niat untuk campur tangan," katanya.

Dr Huang mengadakan pertemuan dengan Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Isnin.



Tags / Kata Kunci: Nazri Abdul Aziz , Wisma Putra

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan