Jerebu: Penerbangan Sektor Kuching-Pontianak-Kuching Dibatal

Diterbitkan: Ahad, 27 September 2015 6:56 PM

Pandangan Sungai Sarawak yang dirakam dari Jambatan Tun Salahuddin kelihatan agak terhad akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan 133 iaitu tidak sihat, pada 2 petang Ahad. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Penerbangan bagi sektor Kuching-Pontianak-Kuching dibatalkan sehingga diberitahu kelak berikutan keadaan jerebu, kata Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), Mohd Nadzim Hashim. 

Beliau berkata, setakat 3 petang Ahad terdapat dua penerbangan dibatalkan, satu ketibaan dan satu perlepasan bagi sektor itu susulan jarak ketampakan hanya kira-kira 900 meter.

"Semua penumpang telah dimaklumkan lebih awal berhubung pembatalan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Nadzim berkata, setakat pukul 3 petang Ahad, sejumlah sembilan penerbangan mengalami kelewatan, lima pelepasan iaitu bagi Kuching/Kuala Lumpur dan Kuching/Sibu, dan empat ketibaan membabitkan sektor Kuala Lumpur/Kuching dan Sibu/Kuching.

"Seramai 1,143 penumpang terbabit dalam kelewatan, (iaitu) ketibaan seramai 494 penumpang dan pelepasan 649 orang," katanya.

Beliau berkata satu penerbangan iaitu penerbangan MH2542 bagi sektor Kuala Lumpur/Kuching yang dilencongkan ke Sibu.

Mohd Nadzim menasihatkan semua penumpang penerbangan melalui LTAK menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing.

Tags / Kata Kunci: jerebu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan