Jerebu: Empat Penerbangan Alami Kelewatan

Diterbitkan: Ahad, 27 September 2015 12:22 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Empat penerbangan, masing-masing dua pelepasan dan dua ketibaan mengalami kelewatan akibat jerebu di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kuching pada pagi Ahad.

Menurut Pengurus Kanan LTAB Kuching, Mohd Nadzim Hashim, ia berikutan jarak ketampakan rendah di lapangan terbang itu pagi ini iaitu 800 meter sahaja.

Beliau berkata kelewatan itu melibatkan sektor pelepasan Kuching-Kuala Lumpur dan Kuching-Sibu serta sektor ketibaan Kuala Lumpur-Kuching dan Sibu-Kuching.

"Kelewatan ini melibatkan 333 penumpang iaitu 144 bagi ketibaan dan 189 untuk pelepasan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Nadzim berkata kesan jerebu turut mengakibatkan penerbangan MH2542 Kuala Lumpur-Kuching dengan 65 penumpang dilencongkan ke Sibu.

Sementara itu, Mohd Nadzim berkata dua penerbangan, satu ketibaan dan satu pelepasan melibatkan sektor Kuching-Pontianak dan Pontianak-Kuching dibatalkan sejak lima hari lepas.

"Sektor ini dibatalkan sehingga diberitahu kelak. Tiada penumpang terlibat kerana semua penumpang telah dimaklumkan lebih awal," katanya.

Setakat 10 pagi tadi laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching mencatatkan bacaan tidak sihat pada 141.

IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 300).

Tags / Kata Kunci: Jerebu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan