Operasi Perniagaan Di Jalan Alor Berjalan Seperti Biasa

Diterbitkan: Jumaat, 25 September 2015 7:04 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Operasi perniagaan di Jalan Alor tetap berjalan seperti biasa walaupun terdapat ancaman pengganas pada malam Khamis.

Tinjauan di gerai makan popular di jalan itu pada Jumaat mendapati banyak kedai, hotel dan gerai menjalankan perniagaan mereka.

Kehadian polis di kawasan tersebut juga hanya dalam bilangan yang kecil.

"Mereka di sini tak tutup (kerana bom). Mereka tak kisah," kata penyambut tetamu di sebuah hotel, Halim Atal, 28, yang tidak bimbang terhadap ancaman pengganas.

Pada Khamis, kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia di sini dilaporkan telah mengeluarkan nasihat perjalanan tentang kemungkinan berlaku serangan pengganas di Jalan Alor dekat Bukit Bintang dan kawasan sekitarnya.

Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki tempatan, seorang warga Syria dan seorang warga Indonesia berhubung ancaman pengganas di Jalan Alor.

Pelancong warga Britain, Talla David dan Frankie Glace, kedua-duanya berusia 20 tahun, tidak menyedari tentang amaran berkenaan.

"Kami di sini (Jalan Alor) sehingga pukul 1 pagi dan tidak mendengar atau melihat apa-apa yang berlaku. Kami tidak tahu mengenai perkara ini sehingga anda yang beritahu kami," kata Talia.

Seorang pemandu teksi berkata, dia tidak fikir pengganas akan menjadikan Jalan Alor sebagai sasaran.

"Saya tidak fikir mereka mahu meletupkan bom di sini. Mungkin Bukit Bintang. Di sana ada lebih ramai pelancong," katanya.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bukit Bintang, See Foo Hoong berkata, beliau dan peniaga-peniaga lain membuat rondaan di jalan itu pada malam Khamis bagi memantau sebarang beg atau objek yang mencurigakan.

"Tiada yang pelik," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

See berkata, segelintir peniaga bimbang terhadap ancaman itu.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu peniaga supaya menutup kedai mereka pada malam Jumaat kerana ia merupakan malam yang sibuk kerana cuti hujung minggu.

"Ada yang mempertimbangkan sama ada mahu membukanya atau tidak. Mungkin (mereka takut)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Parti Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong berharap lebih ramai anggota polis membuat rondaan di jalan itu.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa perhimpunan yang dirancang diadakan di Petaling Street pada Sabtu tidak mempunyai kaitan dengan ancaman pengganas di Jalan Alor dan menyifatkan perkara itu sebagai satu kebetulan.

Tags / Kata Kunci: Jalan Alor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan