PM Ucap Takziah Tragedi Rempuhan Di Mina

Diterbitkan: Khamis, 24 September 2015 10:40 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden rempuhan di Mina, Arab Saudi pada Khamis.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Sedih terima berita tragedi di Mina. Takziah kepada keluarga mangsa. InsyaAllah mereka dimasukkan di kalangan syuhada," catat Najib dalam laman Twitternya malam Khamis.

Perdana menteri turut meminta jemaah haji Malaysia agar mengikut arahan dan peraturan yang telah ditentukan oleh Tabung Haji agar urusan haji berjalan dengan sempurna dan selamat. 

Tabung Haji akan mengambil tindakan segera mengesahkan status jemaah haji Malaysia dan melaporkan kepada beliau, katanya.

"Setakat ini tiada laporan kematian membabitkan jemaah haji Malaysia," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam laman Twitternya turut melahirkan rasa dukacita terhadap tragedi itu.

"Saya merasa dukacita kejadian di Mina. Saudi telah lakukan terbaik. Semoga roh hujaj (jemaah haji) terlibat ditempatkan sebagai para solihin dan syuhada," katanya.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu (waktu tempatan), lebih 700 jemaah haji dilaporkan terkorban manakala beratus lagi cedera dalam kejadian rempuhan di kawasan perkhemahan jemaah dari negara-negara Arab.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam sidang media berhubung perkara itu mengesahkan tiada jemaah Malaysia terlibat dalam insiden rempuhan di Mina semasa jemaah haji melakukan ibadah melontar Jamrah pada Khamis.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan