Perbincangan MoU Jerebu Malaysia-Indonesia Ditangguh Lagi

Diterbitkan: Khamis, 24 September 2015 7:28 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Keadaan jerebu yang semakin buruk di Indonesia sekali lagi memaksa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menangguhkan kunjungannya ke republik itu.

Beliau dijangka menemui Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Dr Siti Nurbaya Bakar di Jakarta hari ini untuk membincangkan kandungan dan terma dalam memorandum persefahaman (MoU) untuk menangani masalah jerebu merentas sempadan.

Ini adalah kali kedua mesyuarat itu ditangguhkan.

Mesyuarat pertama dijangka diadakan pada 18 September lepas tetapi ditunda ke Khamis kerana masalah jerebu.

Wan Junaidi dalam kenyataan yang dikeluarkannya di sini Khamis, menjelaskan tarikh baharu mesyuarat itu masih belum ditetapkan.

"Keadaan jerebu semakin teruk dan perintah darurat telah diumumkan di beberapa wilayah di Indonesia.

"Dr Siti Nurbaya kini terlibat dalam usaha menyalurkan bantuan yang diperlukan di wilayah yang terjejas," tambah kenyataan itu.

MoU itu memberikan tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang, sifar pembakaran hutan di Indonesia, pengurusan tanah gambut dan kolaborasi antara kedua-dua negara jika berlaku kebakaran.

Memorandum antara kedua-dua negara ini dipersetujui sewaktu Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Menteri-Menteri Sub-Serantau Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-17.

Tags / Kata Kunci: jerebu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan