PAS Persoal 'Perancang Sebenar' Pakatan Harapan

Diterbitkan: Khamis, 24 September 2015 12:49 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Walaupun berpendirian untuk tidak bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), PAS mempersoalkan tindakan tergesa-gesa penubuhan Pakatan Harapan yang kini menjadi platform baharu pembangkang.

Malah parti pembangkang yang bergerak bersendirian itu dilihat seolah-olah menunding jari kepada DAP dan cuba menimbulkan keraguan mengenai 'perancang sebenar' pembentukan Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan segera kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan negeri itu sebagai negeri Pakatan Harapan pertama memberi gambaran tertentu.

"Laporan pelbagai media mendedahkan ada pihak tertentu tergesa-gesa mengumumkan kelahiran gabungan baharu iaitu Pakatan Harapan. Dakwaan itu lebih terserlah dan seolah-olah dibenarkan melalui pengisytiharan serta-merta kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan Pakatan Harapan oleh DAP Pulau Pinang.

"Tindakan sepantas kilat itu telah menambat persepsi di minda rakyat mengenai siapa sebenarnya perancang utama di dalam pakatan yang baharu ini," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menyifatkan keputusan PAS untuk tidak bersama Pakatan Harapan sebagai langkah tepat.

"Keputusan PAS tidak menyertai persidangan meja bulat pembangkang pada 22 September terbukti tepat.

"Apapun pada waktu ini PAS sebagai parti pembangkang terbesar, tidak akan terlibat dalam Pakatan Harapan kerana PAS tidak mempunyai hubungan politik dengan DAP dan Amanah," katanya.

Selain itu menurut Tuan Ibrahim, Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menyampaikan maklumat tepat kepada PAS berhubung rancangan penubuhan gabungan pembangkang baharu.

"Perjumpaan antara PAS dengan PKR di Pejabat PKR pada September 15 yang lalu langsung tidak dimaklumkan tentang adanya persidangan meja bulat pembangkang.

"Persidangan meja bulat pembangkang dimaklumkan kemudian, dan pada awalnya ia diberi gambaran bahawa persidangan itu sekadar sebagai perbincangan isu melibatkan kepentingan rakyat. Namun apa yang berlaku ternyata persidangan itu mempunyai agenda lain," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan