Tragedi Mina: Sah Tiada Jemaah Malaysia Terlibat

Diterbitkan: Khamis, 24 September 2015 6:35 PM

Jemaah haji mendapat rawatan akibat dirempuh dalam tragedi ketika melontar di Mina, Khamis.

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan tiada jemaah haji Malaysia yang terlibat dalam insiden rempuhan di Mina pada Khamis.

Perkara itu dimaklumkan beliau pada sidang media susulan berdasarkan semakan yang dibuat oleh Tabung Haji (TH) ke atas tujuh maktab yang menempatkan jemaah haji Malaysia dan 15 syarikat pengelola jemaah haji dan TH Travel & Services Sdn Bhd.

"Selepas membuat semakan, tiada jemaah haji Malaysia yang terlibat dalam insiden rempuhan. Alhamdulillah," katanya pada sidang media di Makkah pada Khamis.

Terdahulu, Asyraf pada sidang media pertama memaklumkan tiada jemaah Malaysia terlibat kerana masa dan lokasi kejadian bukan seperti yang ditetapkan Tabung Haji (TH) namun semakan bagi pengiraan jemaah sedang dilakukan.

Setakat ini, kira-kira 717 jemaah maut dan 805 lagi cedera ketika bilangan besar jemaah berasak-asak di Mina, di luar kota suci Makkah.

Kejadian itu berlaku di Jalan 204 di pusat perkhemahan Mina, beberapa kilometer ke timur Makkah, di mana jemaah lazimnya menginap beberapa hari sebelum cara kemuncak musim haji bermula. 

Asyraf berkata, jemaah Malaysia akan melaksanakan lontaran selepas Asar iaitu pada pukul 5.30 petang dan 8 malam secara berperingkat.

"Kita mempunyai lapan pos peronda sepanjang terowong Muassim sehingga ke Jamarat dan petugas akan melaporkan maklumat terkini mengenai keadaan semasa di kawasan berkenaan.

"Kita mendoakan agar jemaah haji kita sentiasa dilindungi oleh Allah S.W.T dan menunaikan ibadah dengan selamat," katanya.

Insiden rempuhan di Mina pada Khamis merupakan kali kedua berlaku sejak 2006, yang menyaksikan 346 jemaah haji terkorban ketika menunaikan ibadah melontar.

Ketika ini kira-kira dua juta orang sedang mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi.

Sebelum ini, dua tragedi berlaku di Makkah, iaitu kren tumbang di Masjidil Haram dan insiden kebakaran di tingkat lapan Hotel Al Azizyiah juga di Tanah Suci.

Kejadian kren tumbang mengorbankan tujuh jemaah Malaysia, manakala 10 yang lain cedera. 

Dalam kejadian 5 petang pada 11 September lalu, lebih 100 jemaah haji terkorban manakala beratus lagi cedera selepas kren binaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram, selepas umat Islam selesai mengerjakan solat asar.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pembesaran.

Bagaimanapun, kejadian kebakaran hotel itu tidak membabitkan jemaah Malaysia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan