Pelajar Malaysia Di Luar Negara Boleh Sambung Pengajian Di IPT Tempatan Melalui Pindah Kredit

Diterbitkan: Rabu, 23 September 2015 6:13 PM

Idris Jusoh.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian peringkat ijazah di luar negara boleh menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan melalui pemindahan kredit secara mendatar berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh ketika mengumumkan dasar itu pada Rabu, berkata keputusan itu dibuat berikutan kejatuhan nilai ringgit yang menyebabkan masalah kewangan kepada pelajar Malaysia di luar negara.

Beliau berkata ibu bapa juga telah menyuarakan hasrat untuk mendaftarkan anak-anak mereka di IPT tempatan atas faktor kos pengajian yang semakin meningkat di luar negara.

"Selain meringankan beban ibu bapa, keputusan itu juga selari dengan keyakinan kementerian bahawa sistem pendidikan tinggi Malaysia sudah setanding dengan mutu universiti di luar negara.

"Pelajar yang ingin menyambung pengajian di IPT dalam negara boleh membuat permohonan terus melalui IPT pilihan mereka berdasarkan keputusan Senat," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Mengulas lanjut, Idris berkata pindahan kredit secara mendatar akan dilaksanakan secara pemetaan kursus oleh IPT tempatan dengan mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

"Antara syarat ialah gred lulus adalah gred minimum iaitu gred C; nilai kredit mesti sama dengan nilai kredit kursus bagi program di IPT penerima; kesetaraan kurikulum kursus tidak kurang 80 peratus dan kursus yang boleh dipindahkan hendaklah daripada program yang mendapat akreditasi atau pengiktirafan," katanya.

Melalui sistem pindah kredit secara horizontal atau mendatar, Idris berkata tiada had kredit ditetapkan untuk dipindahkan ke program yang diikuti oleh pelajar di IPT tempatan.

Namun, katanya bagi membolehkan IPT tempatan menganugerahkan skrol, maka syarat pemastautin di IPT tempatan akan digunakan kepada pelajar di semester akhir pengajian dan perlu menyambung pengajian selama satu tahun di IPT tempatan.

Dalam pada itu, Idris berkata bagi memudahkan urusan pindah kredit, pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran berhenti pengajian di IPT luar negara yang berkaitan, dan tempat di IPT tempatan.

"Bagi pelajar mengikuti pengajian pergigian, kejuruteraan dan perubatan perlu memastikan mereka mendapatkan tempat di IPT tempatan sebelum melakukan urusan pindah kredit," kata beliau.

Sehubungan itu, Idris berkata kementerian juga melakukan penambahbaikan dasar membenarkan pelajar dalam negara yang sedang mengikuti program persediaan ke luar negara untuk membuat permohonan terus kepada IPT tempatan bagi menyambung pengajian tanpa melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Penambahbaikan dasar ini juga berkuat kuasa serta-merta. Kalau dahulu, MQA menetapkan pelajar yang mengikuti program seperti American Degree Transfer Programme dan UK/Australian Degree Transfer Program perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada MQA terlebih dahulu," katanya.

Sehingga kini, sebanyak 80,000 pelajar sedang mengikuti pengajian di luar negara, kata Idris.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: IPT , Idris Jusoh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan