Surat Arah Turunkan Jalur Gemilang Cetus Tanda Tanya - Berita Semasa | mStar

Surat Arah Turunkan Jalur Gemilang Cetus Tanda Tanya

Diterbitkan: Selasa, 22 September 2015 9:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Paparan skrin sekeping surat rasmi dari Pejabat Daerah Segamat yang menggesa agar bendera Jalur Gemilang diturunkan dan digantikan dengan bendera daerah masing-masing mencetuskan tanda tanya.

Paparan skrin surat tersebut menjadi viral di laman media sosial.

Surat pekeliling itu menggunakan kepala surat Pejabat Daerah Segamat yang bertajuk "Pemasangan Bendera Daerah Menggantikan Jalur Gemilang".

Surat tersebut ditandatangani Pegawai Daerah Segamat, Ahmad Ma'in bertarikh 17 September yang mendakwa Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengarahkan bendera Jalur Gemilang di Johor diturunkan serta merta dan digantikan dengan bendera daerah masing-masing kerana sambutan Hari Kebangsaan sudah berakhir.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, Amran A. Rahman berkata pekeliling tersebut merujuk kepada bendera bersaiz kecil dan bendera hiasan lain pada bangunan, tepi jalan dan juga digantung di pagar sempena Hari Kebangsaan.

Beliau menjelaskan arahan tersebut tidak merujuk kepada Jalur Gemilang yang dikibarkan di sekolah, pejabat kerajaan dan jabatan kerajaan negeri itu.

Katanya, Setiausaha Negeri Johor, Datuk Ismail Karim dijadual menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada Selasa untuk membincangkan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu, sumber dari Istana Johor menjelaskan bahawa pegawai daerah tersebut mungkin salah faham mengenai arahan untuk menurunkan bendera tersebut.

Tags / Kata Kunci: jalur gemilang , Johor
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan